SAYA rasa amat berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar dan perbincangan isu-isu murtad. Walaupun pihak penganjur mempunyai alasan mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu seminar besar dibuat tentang orang ramai menganut Islam.
Dalam politik pilihan raya, pelbagai akhbar parti akan menyiarkan cerita ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama ada benar atau tidak, itu merupakan perang psikologi yang akan melemahkan jentera parti musuh dan semangat pengundi.
Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu, dan patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini.
Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang adapun ingin meninggalkannya. Mereka yang menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan itu – secara langsung atau tidak langsung – memainkan peranan penting melemahkan umat ini dari dalam dan menghalang orang lain daripada menghampiri agama yang suci ini.
Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Saad bin Abi Waqqas sebelum peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara, antaranya: “...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketakwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita” (Dr. ‘Ali al-Salabi, Umar bin al-Khattab, m.s. 420, Kaherah: Dar al-Tauzi’ Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).
Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk umat yang tewas hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini. Jika Umar menyatakan: “..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka,” realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya.
Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam begitu banyak, bahkan zakat berlebihan saban tahun – walaupun yang miskin terus menderita. Pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak.
Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, Perlembagaan dan berbagai-bagai lagi yang berpihak kepada kepentingan Islam. Namun mengapa kita masih kelihatan bagai kita umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak?
Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul.
Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini benar-benar digerakkan?
Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan muslim hidup di kalangan masyarakat muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realitinya, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka dan kita.
Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Namun barangkali kita gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka.
Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif. Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk perilaku mulia umatnya.
Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.
Malangnya, fikah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan; pegawai agama itu memberitahunya “jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.”
Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya ‘waktu masuk Islam 8 pagi sehingga 5 petang’. Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi persaingan ini.
Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab. Padahal Allah menyebut dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan daripada mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang-alik ke tempat ibadat mereka untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula kurang memberi kepada mereka.
Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal.
Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian. Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: “Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan hatinya” (11/424).
Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping. Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit.
Kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik, namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.
Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitulmal, zakat yang ‘berlebihan’ dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik muslim dan bukan Muslim mendekati agama ini.
Ironinya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat pahala. Hal ini tidak benar. Pada zaman Nabi s.a.w. kaum Muslimin juga pada awalnya berat untuk memberikan bantuan kepada selain dari kalangan mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperoleh jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah.
Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya): “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim, orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala selagi tujuannya mencari keredaan Allah. (lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).
Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberi kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah). Malah zakat boleh diberi kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam.
Dalam tulisan sebelum ini saya telah huraikan hal ini. Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Tidak hairan jika zakat ‘berlebih-lebihan’ saban tahun, sedangkan masalah umat bertambah.
Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim. Padahal dalam hadis disebut: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w. satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang Yahudi.” Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.
Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi s.a.w. Diizinkan bukan Muslim masuk mendengar kuliah atau ceramah agama atau mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman nabi.
Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi s.a.w. dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif.
Banyak lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fikah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.