Thursday, May 31, 2007
Dedah Aib Haram Walaupun Untuk Tujuan Pengajaran, Kata Mufti Perlis
KANGAR, 31 Mei (Bernama) -- Pendedahan perkara yang mengaibkan seseorang boleh menjatuhkan maruah individu terbabit dan ia haram di sisi Islam, kata Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata seboleh-bolehnya perkara yang melibatkan maruah individu hendaklah 'ditutup' atau tidak didedahkan secara berleluasa walaupun untuk tujuan pengajaran kepada mereka yang bersalah.

"Mengaibkan orang hukumnya haram di sisi syarak, tidak kira apa juga tujuannya. Perbuatan maksiat yang dilakukan oleh individu itu memang sudah salah di sisi agama Islam dan kesalahan itu adalah antara mereka dengan Allah.

"Jika kita hendak memberikan pengajaran sekalipun, tidaklah dengan cara mengaibkan dan menjatuhkan maruah mereka yang terlibat. Banyak lagi cara yang lebih baik dan berkesan boleh digunakan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pendedahan perbuatan maksiat menerusi internet dan telefon bimbit yang semakin berleluasa pada masa kini.

Mohd Asri berkata masyarakat tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang disiarkan melalui gambar dan video lucah membabitkan artis dan golongan kenamaan sebaliknya menyiasat perkara terbabit dengan teliti sama ada ia memang benar dilakukan atau hanyalah mainan teknologi yang serba canggih pada era ini.

Mengenai tindakan sesetengah penguatkuasa agama di negara ini merakamkan gambar ketika menjalankan operasi pencegahan maksiat, beliau kesal kerana ada segelintir pihak menyalahgunakan gambar yang diambil.

"Saya sendiri ada menerima gambar seorang wanita yang ditahan dalam satu operasi mencegah maksiat yang dijalankan oleh penguatkuasa agama di sebuah negeri. Ia memang menunjukkan aib wanita berkenaan.

"Mungkin niat mereka hendak memberi pengajaran kepada yang bersalah. Tapi dengan cara yang digunakan itu (mendedahkan aib), apakah yang diperoleh, pahala atau dosa?" katanya.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=264988
posted by drmaza @ 9:14 PM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters