Apa yang dapat kita simpulkan daripada tulisan-tulisan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin di akhbar ialah beliau adalah seorang yang berfikiran besar, dapat memahami Islam secara lebih tepat dan menyeluruh. Beliau bukan saja dapat memahami apa yang tersurat, malah lebih penting lagi dapat melihat apa yang tersirat dalam ajaran Islam itu.
Dengan adanya orang seperti Dr Mohd Asri dalam Jabatan Agama Islam, ia telah mula dapat mengubah imej jabatan berkenaan yang sebelum ini dilihat oleh orang ramai lebih menonjol sebagai "Jabatan Menangkap Orang Berkhalwat". Sebaliknya, jabatan agama Islam sepatutnya berperanan lebih besar daripada itu.
Dalam zaman yang telah jauh berubah, jabatan agama Islam sepatutnya menjadi tumpuan untuk memberi panduan yang betul dan tepat bagaimana cara orang Islam harus menjalani kehidupan moden yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Dr Mohd Asri dapat melihat lebih jauh ke hadapan, di mana beliau melihat nilai-nilai murni dan kekuatan yang ada pada ajaran Islam itu, boleh menjadi aset dan pemacu yang amat penting kepada umat Islam untuk menguasai dan menjadi peneraju dalam segala bidang, termasuk ekonomi, sains, teknologi,dan politik.
Sebagai orang Islam, kita diberi tanggungjawab untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mengajak kepada kebaikan adalah umpama mengubati penyakit manusia manakala mencegah kemungkaran umpama sekadar memberi ubat kepada tanda tanda penyakit.
Apabila kita memberi nasihat supaya banyak bersenam dan menjaga makanan yang seimbang bagi mengelakkan terkena penyakit kencing manis, maka perlakuan kita itu adalah mengajak orang kepada kebaikan.
Tetapi apabila kaki sudah berkudis kerana mengidap penyakit kencing manis, maka kaki terpaksa dipotong bagi mengelakkan daripada merebak. Maka, memotong kaki bukanlah ubat untuk menyembuhkan penyakit tersebut sebaliknya sekadar menghapuskan tanda penyakit.
Menangkap orang berkhalwat adalah umpama kita cuba menghapuskan tanda-tanda penyakit yang datang dari masyarakat yang telah sakit. Sepatutnya penekanan dan usaha harus dilipat gandakan kepada mengubati penyakit masyarakat. Tak sepatutnya kita terlalu membesar besarkan benda yang yang remeh-temeh yang hanya akan menambah keaiban dan merendahkan masyarakat kita.
Sebalikanya, jabatan agama Islam perlu memainkan peranan dalam usaha memberi idea dan aktiviti aktiviti yang dapat menjauhkan masyarakat daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral seperti dadah, hiburan yang melampau, samseng, mat rempit dan rasuah.
Mereka harus ada sikap yang lebih proaktif dan usaha sentiasa digerakkan bagi mencari jalan yang dapat membawa umat kepada agenda yang lebih besar bagi menghadapi cabaran dunia global ini.
RAMAI wartawan menghubungi saya bertanya pendapat tentang beberapa tindakan artis kita yang menimbulkan berbagai-bagai kontroversi. Saya menangguhkan jawapan terhadap kebanyakan soalan itu bimbang nanti disalahtafsirkan. Biar saya sendiri yang menulisnya agar lebih jelas maksud saya.
Sebelum saya pergi lebih jauh, wajar dijelaskan terlebih dahulu bahawa saya bukan antihiburan atau seni. Sebabnya, Islam itu bukan agama antihiburan dan seni. Cuma setiap perkara dalam Islam, ada batasan dan disiplinnya.
Dalam sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. datang ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa Peperangan Badar sehingga salah seorang daripada mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok.” Baginda bersabda: Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu.
Dalam hadis tersebut baginda tidak melarang hiburan pada hari keramaian seperti perkahwinan. Cuma baginda melarang ungkapan atau lirik yang salah. Hanya yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari ialah Allah. Maka baginda membetulkannya.
Baginda bertindak bagaikan lembaga penapisan dan penilaian seni atau hiburan agar tidak menyanggahi batasan agama yang murni ini.
Islam tidak jumud sehingga menjadikan hidup ini kaku dan tidak ada langsung rempah-ratus kehidupan yang diselang-seli oleh hiburan dan keseronokan dengan kadar yang tidak melampaui batas sehingga boleh menghilangkan matlamat hidup yang sebenar.
Dalam riwayat al-Bukhari juga daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan. Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda: Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.
Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian seperti hadis al-Bukhari sebelum ini.
*Masjid
Bahkan baginda mengizinkan pertunjukan yang menghiburkan di masjid sekalipun. Ini seperti hadis al-Bukhari. Kata Aisyah r.a: “Suatu hari Rasulullah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang-
orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selendangnya agar aku dapat melihat kepada permainan mereka. Kemudian baginda bangun keranaku sehingga aku beredar (bosan). Kamu andaikan kadar seorang anak gadis yang muda yang berminat dengan hiburan.”
Hadis-hadis ini menunjukkan keizinan Islam untuk penganutnya menikmati hiburan dengan batasan yang ditetapkan. Ini kerana hidup yang diciptakan Allah akan menempuh berbagai-bagai situasi dan keadaan. Kadangkala ia memerlukan kerehatan dengan hiburan yang berprinsip bagi membantu melegakan ketegangan urusan hidup. Juga hiburan membantu memeriahkan acara yang patut dihidupkan suasana kegembiraan seperti perkahwinan atau Hari Raya.
Di samping itu, ada pula insan lain yang tidak memerlukan itu semua. Maka hiburan bukan suatu kemestian tetapi suatu keizinan dan peluang untuk insan. Atau paling tinggi suatu galakan Nabi untuk suasana tertentu. Justeru, hiburan bukan fokus utama dalam masyarakat Islam. Ini kerana, hiburan jika berlebih-lebihan maka ia akan mengganggu tumpuan hidup umat yang agung iaitu menjadi khalifah dengan membina tamadun yang bertunjangkan akidah dan pengabdian diri kepada Allah dan membawa rahmat untuk manusia sejagat.
Keizinan Nabi untuk para sahabat menikmati hiburan dengan kadar yang munasabah tidak pernah mengganggu mereka membawa misi agung yang disebut oleh Rib’i bin Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Malangnya, apa yang kelihatan dalam masyarakat Muslim kita, hiburan yang merupakan keizinan untuk meredakan ketegangan urusan hidup atau sebagai peluang menikmati keseronokan telah dijadikan fokus utama dalam kehidupan. Media seakan mengajak generasi kita menumpukan sepenuhnya kemampuan diri untuk berlumba-lumba di bidang hiburan. Sehingga jika dilihat kepada media elektronik dan cetak, seakan tidak ada agenda lain yang lebih utama dalam kehidupan generasi baru dari berhibur dan berseronok sepanjang masa.
Hiburan yang diizinkan dengan kadar yang munasabah telah menjadi candu dan barah yang membunuh tumpuan remaja dan para pemuda untuk membina tamadun secara bermaruah dan merdeka.
Lebih buruk lagi, kebanyakan hiburan yang disebarkan itu bukan sahaja tidak mempunyai nilai kesopanan dan tamadun, bahkan sebahagian adalah lambang keruntuhan akhlak dan ketidakmerdekaan jiwa. Sebahagian yang melibatkan diri dalam dunia hiburan itu; kisah, pakaian, bahasa dan gaya mereka bukan sahaja tidak memperlihatkan kematangan dan tamadun, bahkan menonjolkan ciri-ciri kebodohan diri. Lihat sahaja sesetengah adegan lawak jenaka zaman kita atau aksi sesetengah artis.
Di samping itu, acuan atau reka bentuk hiburan itu sendiri gagal menunjukkan jati diri umat yang mempunyai tamadun dan budaya yang tersendiri. Lihat sahaja nama-nama program realiti hiburan yang ditampilkan, kebanyakannya melambangkan jiwa yang tidak merdeka yang menceduk dari reka bentuk sehingga ke nama program pun tidak mampu diubah.
Para penggiat hiburan, ramai yang menjadikan Barat kayu ukur dalam kegiatan mereka. Maka sehingga ada yang merasai gelagat buruk artis Barat sama ada Paris Hilton atau Britney Spears atau seumpama mereka mempunyai nilai seni yang tersendiri.
Mereka lupa bahawa Barat sedang mengalami keruntuhan moral yang parah disebabkan para artisnya. Nilai-nilai buruk dan hodoh telah bertukar menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan mereka sehingga merosakkan ikatan keluarga, budaya asal mereka bahkan agama mereka sendiri. Para artis mereka adalah lambang dan penyumbang kepada keruntuhan tersebut.
Namun Barat masih mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya mereka telah berjaya membina tamadun kebendaan yang hebat yang menjadikan mereka dipandang megah oleh dunia. Maka kecuaian muda- mudi mereka masih dapat ditampung dengan tamadun kebendaan yang telah mereka bina. Untuk mereka melangsungkan apa yang sudah mantap tidaklah begitu sukar.
Juga, aktiviti hiburan mereka telah membawa pulangan ekonomi yang tinggi. Ini kerana, dunia lain memandang tinggi jenama mereka dan sanggup membayar harga untuk menikmati hiburan mereka. Adapun kita, belum berjaya membina tamadun kebendaan, mahupun budaya seperti mereka. Lebih malang lagi, kegiatan seni kita lebih banyak membazirkan wang bangsa sendiri dan gagal menghasilkan pulangan ekonomi untuk negara.
Dalam keadaan kita yang dilanda berbagai-bagai masalah yang gagal diselesaikan dengan kadar yang selesa; dadah, kerosakan akhlak, gejala jenayah remaja, malas, sikap tidak bertamadun anak bangsa; adakah patut kita fokuskan tenaga dan kemampuan remaja kita ke arah hiburan ‘tidak berhenti-henti’ atau ‘hiburan tanpa sempadan’? Program realiti hiburan ada yang telah memerangkap cita-cita hidup anak muda sehingga gagal memikirkan kemampuan diri selain dari menjadi ‘artis segera’.
Namun perkara yang paling realiti bagi setiap program realiti hiburan itu adalah penajanya mengaut untung gila-gila sementara kerugian langsung atau tidak langsung ditanggung oleh ‘anak dan bapa’ orang kita.
Sekali lagi, saya bukan antiartis, hiburan dan seni. Anda boleh baca temu bual dengan saya oleh majalah Pentas terbitan Istana Budaya. Namun saya sedang membicarakan soal untung rugi jangka masa panjang terhadap umat jika terus dibiarkan generasi kita tenggelam dalam arus hiburan tidak berdisiplin yang sedang pesat sekarang.
Saya tidak antiartis secara melulu. Bahkan saya tahu ada artis-artis yang ternama juga membaca artikel saya. Setiap orang ada sumbangannya. Namun saya mengharapkan agar kegiatan seni tidak melanggari disiplin agama dan memusnah masa depan bangsa. Hiburan kita seakan hilang arah. Dalam banyak hal, kelihatan tidak banyak memberi sumbangan kepada pembangunan peradaban dan ketamadunan umat.
Islam bukan jumud yang menuntut agar filem atau artis yang berdisiplin mesti mempamer ‘lebai’ atau kopiah di atas kepala atau dibacakan nas-nas agama. Yang penting ialah disiplin dalam penampilan dan kandungan. Sekadar bersongkok atau berkopiah belum tentu isi seninya tidak melanggar batasan Islam.
Dalam industri perfileman, saya rasa kita boleh puji Iran. Walaupun saya dalam banyak perkara pokok dan cabang amat berbeza dengan mazhab utama negara tersebut. Namun saya akur industri filem di Iran telah berjaya – pada suatu tahap – menghasilkan filem-filem yang mempunyai disiplin yang tinggi dan kualiti yang baik. Bahkan banyak juga filem mereka yang memenangi berbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Tanpa perlu mempamerkan watak yang menyanggahi agama atau menceduk aksi dan watak Barat, filem ‘Kasut’ dari Iran berjaya memenangi anugerahnya.
Pihak yang diberikan bajet besar untuk kemajuan Islam pula hendak merancang agar media benar-benar dimanfaatkan untuk pembangunan umat. Media adalah kuasa ajaib di zaman ini. Janganlah program kita hanya stereotaip yang tidak boleh dipasarkan untuk generasi baru.
Kepentingan menguasai media atau memanfaatkannya lebih utama dari memikirkan bagaimana mengelakkan Mufti Perlis daripada muncul dalam Forum Perdana. Sehingga hari ini para penggiat seni tidak mempunyai penasihat seni dari sudut agama yang praktikal dan produktif.
Anugerah-anugerah prestij agama yang sudah bersifat ‘muzium’ itu patutlah digantikan dengan anugerah-anugerah lain yang lebih utama untuk difokuskan. Anugerah filem yang berkualiti dan tidak menyanggahi syariah umpamanya mungkin boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan seni yang lebih berdisiplin.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Ramai yang bertanya saya; falsafah dan teori kepimpinan Islam yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah begitu hebat,namun mengapakah pengurusan agama dalam negara kita ini kelihatan ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan pengurusan lain. Kata mereka: Peruntukan kerajaan untuk memajukan agama amat besar. Berbagai jabatan dan badan ditubuhkan dengan mendapat bajet yan bukan sebarangan. Dari pengarah sehingga pegawai biasa, saban tahun naik gaji. Kereta dan kerusi pun kelihatan mewah-mewah. Agenda melancong sambil bertugas, atau bertugas sambil melancong –saya tidak pasti- pun kelihatan sibuk sekali. Dengan peruntukan yang sedemikian besar, sepatutnya banyak persoalan umat Islam dapat selesaikan. Juga mampu menjadikan kita umat yang paling gemilang dalam banyak aspek.
Malangnya, masalah umat Islam makin bertambah. Bermula dari persoalan minda fikir yang tidak bergerak ke hadapan menjunjung kedaulatan Islam sehingga kepada kelemahan dalam soal hidup berserta dengan nilai diri. Bermula dari hak-hak isteri dan suami yang gagal dilangsaikan di mahkamah syariah secara yang membanggakan sehingga kepada urusan zakat yang mengecewakan. Bermula dari mat rempit yang kurang berjaya dipulihkan atas pendekatan agama sehingga kepada kes-kes murtad yang tidak dapat dikembalikan kepada kekuatan dakwah islamiah secara hikmah dan hujah.
Kelemahan itu nampaknya bermula dari jabatan ‘yang besar’ sehingga ke instutusi masjid secara umumnya. Lebih mendukacitakan lagi, kebanyakan tokoh agama yang mendapat bajet pengurusan dari kerajaan ini gagal menjadi ikon masyarakat. Mereka bukan sahaja tidak dapat menjadi idola, bahkan majoriti mereka tidak pun dikenali umat. Suara bernas mereka tidak tampil untuk memberikan cadangan penyelesaian kepada isu-isu semasa. Ketajaman minda agama mereka tidak dapat dirasai dalam banyak perkembangan.
Umat pun dalam banyak hal terlupa nama mereka untuk dijemput membicarakan masalah semasa. Jika tidak kerana peruntukan yang dikendalikan oleh mereka, mungkin sukar untuk didapati majlis yang menampilkan mereka. Ada pula dipenjarakan oleh bilik hawa dingin atau kapalterbang kelas pertama. Mereka kelihatan selesa dengan tali leher dan suit yang lawa. Umat terus menderita dengan masalah yang bertimpa berkaitan krisis kefahaman agama, pemikiran Islam yang dicabar dan kehidupan umat yang tidak mencerminkan ketinggian tamadun Islam itu sendiri. Bahkan dalam banyak hal, aktivis dakwah yang tidak mendapat peruntukan kerajaan atau kedudukan khas lebih menonjol menyumbang untuk masyarakat.
Relevan
Apakah ini menunjukkan Islam sudah tidak relevan lagi? Saya katakan tidak! Islam sentiasa relevan. Ia agama untuk sepanjang zaman. Kebaikannya melimpahi semua kaum dan puak. Rahmatnya dirasai oleh semua manusia sekalipun berbeza-beza warna dan agama. Namun banyak pihak yang tersilap dalam falsafah atau teori kepimpinan dalam Islam. Ada yang menyanggahi bahawa apabila seseorang itu bergelar ustaz, atau belajar agama dengan sendiri bererti dia berkelayakan memimpin atau menguruskan semua urusan umat. Hal ini salah! Kepimpinan bukan sahaja berkaitan soal kebaikan peribadi atau serban yang dipakai tetapi ia sangat berkait dengan persoalan kemampuan atau kemahiran dalam bidang yang dipimpin. Dalam hadis daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim).Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim.
Ini menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayakan tidak wujud sepenuhnya. Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah kepimpinan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, bukan sekadar warak dan soleh sahaja. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siasah seperti al-Khulafa al-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik dan pentadbiran. Hanya kerana seseorang itu ‘bergelar ustaz’ atau lulusan agama semata lantas kita menyerahkan kepadanya tanggungjawab tanpa menilai tuntutan zaman berkaitan jawatan tersebut maka kita akan tersilap. Jika serahkan jawatan kepada seorang yang mempunyai latar agama tetapi berminda lima puluhan sedangkan jawatan itu menuntut penyelesaian persoalan semasa, tentu kita akan gagal.
Sarjana Islam yang agung Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H) telah membahaskan soal kelayakan kepimpinan ini dengan begitu menarik. Para sarjana Islam seperti Ibn Taimiyyah r.a. telah pun mendahului tajuk ratusan tahun sebelum munculnya penulis-penulis Barat yang dikagumi oleh sesetengah pihak.
Al-Quwwah Dan al-Amanah
Secara umumnya kepimpinan memerlukan dua ciri, iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Al-Quwwah iaitu kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan yang dipimpin. Sementara Al-Amanah iaitu nilai amanah dalam diri.
Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya): “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s.(maksudnya) :”Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai (Surah Yusuf: 54). Firman Allah dalam menyifatkan Jibril (maksudnya): (Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati lagi dipercayai (Surah al-Takwir ayat 19-21)
Katanya Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan...al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): “Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir) (Surah al-Maidah: ayat 44)”.
Saya katakan pada zaman ini al-Quwwah dalam pengurusan agama dalam kerajaan bukan sahaja merujuk kepada sijilnya tetapi ketajaman mindanya menyelesaikan masalah umat berlandaskan manhaj Islami. Entah berapa ramai yang mempunyai sijil tetapi fikirannya kontang. Dalam keadaan Islam yang tertekan oleh berbagai tuntutan keadaan dan masa, kepimpinan Islam mesti berkemampuan membela Islam serasi dengan tuntutan masyarakat hari ini. Kemampuan memperkenalkan Islam kepada masyarakat yang begitu rencam ini secara segar dan berketerampilan sangat dituntut bagi setiap yang menduduki jabatan atau badan yang berkaitan dengan Islam. Jangan kita hanya tahu menghabiskan bajet, tapi kesannya tidak kelihatan melainkan setakat reka bentuk astaka baru atau menu jamuan yang baru sahaja atau tambahan nilai acara-acara anugerah semata. Peruntukan kerajaan yang besar mestilah juga memperlihatkan kesan yang besar bagi umat yang menghadapi berbagai persoalan hari ini.
Di universiti, ahli akademik dalam melaksanakan sesuatu kajian atau menulis sesuatu artikel dinilai sudut ‘impak’ atau kesan bahan tersebut kepada masyarakat apabila didedahkan. Sesuatu artikel yang hambar dan tidak mendapat perhatian tidak ada nilainya yang besar. Namun sesuatu kajian atau artikel yang mendapat perhatian dan menggerakkan masyarakat dianggap bernilai sekalipun dikritik. Demikian juga semua gerakan perubahan –sekalipun dikritik oleh yang berkepentingan- namun kita mesti melihat positifnya terhadap umat secara menyeluruh dan jangka masa panjang. Bukan untuk menjaga keselesaan segelintir manusia sahaja.
Kepimpanan Islam di era ini mesti diukur kemampuannya memberikan impak kepada perubahan masyarakat Islam ke arah yang lebih bertamadun dan berkemampuan. Pengukuran kesan terhadap perubahan umat sepatutnya menjadi piawaian kita dalam memilih kepimpinan agama. Hasrat masyarakat terhadap institusi-institusi agama kerajaan amat besar. Namun realitinya, anda sendirilah berikan penilaian. Maka kejumudan dan keterikatan dengan sesuatu anggapan agama tanpa dalil yang kukuh atau tradisi tanpa hujah mestilah dilenyapkan dalam peta pemikiran tokoh-tokoh yang ingin memimpin urusan agama.
Bertembung
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua jenis peribadi, satunya padanya ada kekuatan atau kemampuan tetapi kurang amanah sementara seorang lagi solih atau sangat amanah tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah asy-syar`iyyah menyatakan hendaklah dilihat kepada kedudukan jawatan dan dinilai siapakah yang paling mampu memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang soleh ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun lemah dalam pengurusan. Di atas sebab ini maka Rasulullah s.a.w. memilih Khalid bin al-Walid r.a. mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabah yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi s.a.w. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Bahkan Rasulullah s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakan Khalid yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut dalam kitab yang sama: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatanyan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri. Adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam". Maka berperang bersama yang kuat dan jahat.”.RasululLah s.a.w juga pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat”.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka soal kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah umat Islam hari ini hendaklah dilihat secara yang lebih luas berasaskan ciri al-Quwwah dan al-Amanah. Bukan soal sijil, serban atau songkok semata, tetapi soal kesan yang mampu mencorakkan umat. Penilaian semula terhadap beberapa soal pentadbiran agama mungkin boleh menjadi pemangkin perubahan.
Ada yang bertanya mengapakah artikel saya banyak menumpukan soal dalaman umat.? Kenapa tidak tumpukan serangan kepada pihak luar? Saya katakan yang di luar kelihatan kuat kerana kita lemah. Jika kita kuat maka di luar itu tentunya lemah. Jika tidak mampu melemahkan yang di luar, maka kita kuatkan dalaman kita. Maka mengkritik dari dalam mungkin ubat yang berkesan untuk era ini.
Dua bulan yang lepas, Prof Diraja Ungku Aziz mengirimkan kepada saya sebuah buku yang amat mengkagumkan. Saya amat gembira dengan hadiah yang tidak ternilai itu. Kata Pak Ungku, beliau telah membaca buku tersebut berulang-ulang kali. Bukunya nipis sahaja. Karya seorang tokoh melayu agung; Pendeta Za’ba. Akibat tindakan golongan konservertif agama yang menentang pembaharuan di Perak pada tahun 30an maka tulisan-tulisan Za’ba diharamkan dan buku tersebut turut tidak dapat muncul pada hayat Za’ba. Dewan Bahasa telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya walaupun setelah ketiadaan Za’ba. Buku yang Pak Ungku kirimkan itu bertajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.
Di muka hadapan buku tersebut diletakkan tajuk dan gambar Za’ba. Di kulit belakangnya diletakkan kata-kata beliau: “Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya-tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak…” Dengan melihat kepada tajuk dan dan pertikan tersebut, saya tertanya-tanya mengapakah Pak Ungku mengirimkannya kepada saya. Ia mendesak saya segera membaca buku berkenaan. Apabila saya baca saya dapati buku tersebut sangat hebat. Za’ba bukan sekadar seorang ilmuan bahasa semata, beliau juga seorang ilmuan agama yang terbilang. Namun sikap agama yang begitu konservertif pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang seumpama beliau.
Sebenarnya, Za’ba dalam buku berkenaan menceritakan serta mengulas sikap orang melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung kepada orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama. Menurut Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa melayu. Sikap enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadang-kala dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan lemah. Antara kata-kata Za’ba dalam buku tersebut: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya”. (m.s 24).
Sikap bertaklid buta dalam berbagai perkara terutama hal agama melambatkan proses pembangunan minda. Maka tidak hairan jika minda agama kita tidak mampu bersaing dengan pembangunan fizikal yang dibuat. Walaupun Za’ba menulis pada tahun tiga puluhan, namun realiti hari ini masih terasa kesegaran tulisan tersebut. Kata Za’ba: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta. Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang-orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain. Imam-imam Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu”.(m.s. 25-26)
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh semua para mujaddid ( tokoh pembaruan). Di tanahair kita, para pejuang pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari berbagai khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama kepada akidah yang bersih. Mereka jugalah yang mengeluarkan wanita dari kuasa paksaan bapa dalam perkahwinan, larangan wanita ke pusat pengajian dan seumpamanya. Mereka juga yang mengajak diubah amalan-amalan agama yang tidak berasaskan dalil bahkan lebih bersifat ‘bisnes cari untung’ seperti upah-mengupah ketika kematian. Tol-tol kematian tersebut telah mengorbankan harta benda anak yatim dan orang miskin. Apabila berlaku kematian maka masyarakat berkumpul dan memakan harta peninggalan si mati, bukan berfikir tentang masa depan dan kebajikan kaum keluarganya. Ia sangat berbeza dengan ajaran Islam yang menyebut: “Apabila datang berita kematian Ja’far bin Abi Talib, Nabi s.a.w bersabda: “Buatlah untuk keluarga Ja’far makanan kerana telah datang perkara yang mengganggu urusan mereka” (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan lain-lain).
Tujuan para pejuang perubahan tidak lain, selain dari ingin melihat kebajikan, kegemilangan umat dan kemampuan mereka menghadapi cabaran zaman. Juga memelihara pegangan umat sehingga jangan seakan menganggap pandangan orang bergelar agama kesemuanya mesti ditelan bulat-bulat tanpa dinilai dengan neraka al-Quran dan al-Sunnah. Tiada siapa pun yang maksum di kalangan umat melainkan Muhammad bin Abdillah s.a.w. insan yang ditabalkan menjadi rasul. Kata al-Imam Malik bin Anas r.a.: “Tiada seorang pun selepas Nabi s.a.w melainkan boleh diambil dan ditolak pendapatnya kecuali Nabi s.a.w” (Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, 2/119, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi). Kata Za’ba yang menyelusuri pegangan ini: “Sekalian imam besar Islam zaman dahulu itu walau “Imam-imam Mujtahidun” pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka tidak bersifat maksum itu. Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama.
Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-gala pendapat fahaman mereka. Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal dan zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata: “Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!” Apa lagilah jika sekiranya ada didapati bersalahan dengan al-Quran! Mereka tiada suka orang mengikut dengan taklid buta kepada apa-apa pendapat dan fahaman mereka itu. Mereka selalu suruh uji dan timbang sendiri barang apa-apa jua yang mereka katakan dalam kitab-kitab karangan mereka: Jika didapati betul bolehlah ikut; jika tidak betul atau tidak sesuai lagi, buanglah atau baiki akan dia. (m.s 26)
Malangnya golongan yang berkepentingan atas nama agama pada setiap zaman mencemburui proses perubahan dan pembaharuan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Sedangkan umat memerlukannya. Lalu yang berkepentingan menghasut sesetengah pihak agar menganggap proses pembaharuan adalah sesuatu buruk dan patut ditentang. Za’ba menjawab hal ini dengan tegas, katanya: “Kita semuanya berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berkehendakkan jahat. Kita ingin hendak membaiki segala hal ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada perkara dunia dan pada perkara agama; hendak mengubah segala sifat keadaan kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak zaman pada segala yang baik. Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan hendak berkokok pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan! (m.s 38)
Sunggguh pelik , seorang sarjana besar bangsa seperti Za’ba diharamkan pemikiran dan tulisan nya oleh golongan agama yang sempit pada zamannya. Namun, apa yang hendak dihairankan, tokoh agung Nusantara iaitu Buya Hamka telah diharamkan berceramah di negeri tertentu di Tanah Melayu ketika hayatnya. Hanya kerana pandangan Hamka tidak dapat diterima oleh sesetengah mufti Tanah Melayu. Sehingga Hamka menulis beberapa sindiran yang amat tajam terhadap mufti-mufti di Tanah Melayu. Hal seperti inilah yang Za’ba sebutkan: “Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.”.(m.s 33).
Demikian nasib yang diterima oleh para pejuang perubahan pada setiap zaman. Bacalah sejarah perjuang Syed Syeikh al-Hadi, Mustafa Abdurrahman dan lain-lain di Tanah Melayu. Namun mereka telah nekad yang akhirnya melimpahkan kebaikan kepada generasi kemudian. Dalam konteks yang lebih global, lihatlah sumbangan perjuangan tajdid seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Rasyid Redha dan lain-lain. Walaupun sebahagian besar mereka di’gam’kan pada zaman mereka, namun nama mereka terus dikenang oleh generasi kemudian. Bak kata pepatah “Al-Baqa li al-Aslah” iaitu “Berkekalan itu bagi yang terbaik”. Pihak yang men’gam’kan mereka telah pun dilupai namanya, namun nama para pejuang terus dikenang. Lihat al-Imam Ahmad yang dihukum dengan begitu rupa oleh kuasa agama pada zamannya. Hakim yang menghukum al-Imam Ahmad sekali pun megah bersandarkan kedudukan pada masa itu telah dilupai namanya oleh generasi kemudian, namun nama al-Imam Ahmad dan pendiriannya terus dikenang dengan tinta emas oleh sejarah.
Untuk itu saya selalu katakan sesuatu pemikiran apabila dilontarkan ke dalam masyarakat, ia tidak dapat dihapuskan lagi melainkan dengan pemikiran yang lebih kukuh dan teguh. Paksaan tidak mungkin dapat menghancurkan sesuatu pemikiran, kerana tempat pemikiran adalah fikiran atau minda. Hanya yang boleh mencabutnya keluar adalah hujah yang memaksa minda akur dan menerimanya. Fahami hakikat ini. Sesungguhnya jeritan dan bantahan atas emosi dan sentimen tidak akan membuahkan hasil. Jawablah sesuatu hujah itu dengan hujah, bukan dengan sentimen dan emosi. Di samping wajib kita ingat hikayat melayu “Hang Nadim” yang dibunuh kerana kepintaran ideanya dek bimbangkan kepentingan diri janganlah di watak di pentas realiti kita.
Buku Za’ba ini baik untuk dibaca terutama bagi yang kuat bercakap soal Islam di Malaysia mesti ikut ‘orang tua-tua melayu’. Za’ba adalah tokoh sarjana melayu. Seperti Pak Ungku mensarankan kepada saya. MB Perlis juga cuba mengambil langkah memasyhorkan buku ini. Saya sarankan anda membaca buku tersebut. Saya juga berterima kasih kerana setiap tulisan saya dibaca oleh ramai negarawan, menteri, tokoh-tokoh masyarakat dan rakyat biasa yang memberikan semangat yang sangat positif kepada saya. Walaupun segelintir yang kurang senang, namun saya harap ia tetap akan dikenang.
MURTAD adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya, “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua.” Allah berfirman dalam s urah al-Baqarah: 217: (maksudnya) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat berbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat.
Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.
Namun dalam suasana sekarang ini, saya ingin mengajak persoalan ini dilihat luar dari sempadan emosi, tetapi atas kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat. Langkah pencegahan ke arah murtad perlu dilakukan secara bersungguh. Ini sesuatu yang kita sepakati. Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada pelanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan. Apabila pelanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri telah keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad.
Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak disahkan oleh mana- mana pihak. Pernyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar kepada hakikat akidah seseorang. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran. Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya hanya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim sahaja. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?
Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat berbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.
Berikutnya, kita jangan sampai diperdayakan oleh musuh dengan meletakkan angka murtad sehingga ratusan ribu. Walaupun ada, ia tidak sampai kepada angka tersebut. Jangan pula kita mudah menghukum orang lain murtad hanya atas khabar angin. Apakah kita ingin menghidupkan suasana kafir-mengkafir atas andaian semata. Perbuatan itu hanya memporak- perandakan masyarakat Islam.
Meletakkan angka yang sebesar itu hanya melancarkan agenda musuh-musuh Islam. Ia akan menyebabkan dunia menekan negara agar tidak mengabaikan hak jumlah manusia yang ratusan ribu itu. Lantas usaha ke arah murtad mendapat sokongan dunia luar.
Kedua, meletakkan jumlah yang sedemikian besar, hanya akan mematahkan semangat mereka yang ingin menganut Islam dan usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam. Alangkah malunya, ketika umat Islam dunia Barat yang ditekan sedang giat dan berjaya mengislamkan saban hari jumlah begitu banyak penduduk Barat sedangkan kita kalut dengan cerita orang murtad. Padahal tidak ada kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada umat Islam di Barat. Apatah lagi perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan Islam. Tiba- tiba dalam negara yang banyak masjid, ceramah agama di sana sini, ada pejabat agama dan mufti, pelbagai pertubuhan Islam wujud, perlembagaannya menyebut Islam, ustaz-ustaznya pun banyak duit ceramah yang telah dihasilkan, mufti-muftinya pun ramai yang berjenama mewah, slogan Islam pun banyak kedengaran di sana sini, lalu kita isytiharkan ratusan ribu telah murtad.
Sedangkan umat Islam Barat yang lebih mencabar keadaan mereka itu mengisytiharkan ratusan ribu yang menganut Islam. Bahkan begitu banyak gereja bertukar menjadi masjid. Padahal tidak ada mahkamah syariah pun di negara-negara tersebut. Namun mereka berdakwah dengan penuh amanah dan kesarjanaan. Lantas, manusia berbondong-bondong menganut Islam.
Aduhai malangnya kita. Jika hal yang berlaku sebaliknya. Kalau begitu, barangkali elok sahaja kita pencenkan menteri Jakim, mufti-mufti kesemuanya yang sewaktu dengan mereka kerana ternyata gagal mempertahan dan menjelaskan Islam yang agung ini kepada umat.
Kita juga hendaklah mengkaji sebab-sebab murtad di negara ini. Jangan hanya menuding jari ke pihak lain, tanpa melihat kepada diri kita sendiri. Jika kita teliti, ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada mereka yang dahulunya beragama lain. Mereka menganut Islam kadangkala disebabkan faktor perkahwinan. Apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung. Masyarakat Islam pula ramai yang kurang prihatin terhadap saudara baru. Lalu mereka tiada pilihan, terpaksa kembali kepada keluarga asal atau masyarakat yang lebih memahami mereka. Sebab itu, saya mencadangkan masjid Cina. Antara sebabnya membolehkan mereka bertemu dengan yang senasib atau yang lebih faham tentang diri mereka. Lalu berlaku bantu-membantu. Juga proses pemahaman Islam lebih lancar dan mudah. Itu pun ada yang membantah cadangan tersebut. Kononnya hendak jaga identiti Melayu.
Takut berpecah antara sesama Islam yang berlainan bangsa. Itulah andaian emosi tanpa satu kajian. Padahal, apa yang berlaku sekarang bukan sekadar berpecah, bahkan keluar agama!
Baru-baru ini ada saudara baru yang minta hendak menganut Islam di hadapan saya. Katanya, dia telah ke pejabat agama sebuah negeri tetapi ditolak beberapa kali kerana lidahnya tidak dapat menyebut ucapan syahadah dengan baik. Inilah sikap buruk sesetengah kita yang menghalang orang hendak menganut Islam. Barangkali ustaz berkenaan kalau boleh bacaan tajwid orang yang hendak menganut Islam pun hendak diujinya. Ya syeikh! Islam dianuti bukan kerana kefasihan lidah, tetapi keyakinan dan akidah!
Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 111: (maksudnya): Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Apa yang tinggal untuk dipersoalkan adalah sikap penganutnya. Manusia lari meninggalkan Islam kerana sikap penganutnya atau huraian Islam yang salah. Bukan kerana Islam. Kita gagal membina benteng yang mampu mempertahankan Islam. Kita lebih suka menyalahkan orang lain apabila kita lemah. Saya ambil contoh dalam masalah Bible dalam bahasa melayu. Saya bukan ingin mengatakan dibolehkan atau tidak. Tetapi sehingga bila kita ingin menjerit dan membantah. Kita bimbang anak-anak kita terpengaruh dengan Bible jika ianya dalam bahasa Melayu. Apakah kita tidak bimbang jika anak kita pandai bahasa Inggeris dan nanti dia boleh baca Bible dalam bahasa Inggeris pula? Tidak inginkah pula kita mengharamkan bahasa Inggeris untuk anak-anak kita? Apa pula yang hendak kita buat dengan Internet yang seseorang mampu mendapatkan apa sahaja daripadanya? Apa kita kata jika kita dapati ada satu bangsa yang takut orang- orangnya diberi kesempatan membaca al- Quran terjemahan dalam bahasa mereka. Tentu kita akan kata; mereka takut sebab al-Quran itu benar. Demikianlah orang lain fikir tentang kitab mereka apabila dihalang. Sehingga bila kita mampu menghalang? Sepatutnya kita membina benteng ketahanan yang kuat. Lihat apa yang dibuat oleh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik dalam menjawab Bible. Orang menganut Islam apabila mendengar mereka membahaskan Bible. Huraikan Bible secara ilmiah dan buktikan kebenaran al-Quran dan Islam. Ustaz-ustaz mesti meningkatkan kemampuan menguasai bidang yang pelbagai sesuai dengan tuntutan zaman. Bukan asyik kempen kismis jampi sahaja. Kocek penuh, umat lari. Jawab segala tuduhan terhadap Islam dengan penuh wibawa dan ilmiah. Bukan emosi semata. Bahkan kalau perlu dihuraikan Das Kapital pun huraikanlah sekalipun dalam masjid. Namun apabila ceramah dan syarahan agama lebih banyak jenaka dan lawak ‘tak pandai’ maka pelbagai tohmahan terhadap Islam gagal ditangkis dengan mantap. Sedangkan al-Quran mengajar pelbagai isi dan cara berdialog menghadapai Ahl al-Kitab. Antaranya Allah menyebutkan: (maksudnya) Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang- orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah Kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46).
Anak-anak kaum muslimin mustahil akan terpengaruh dengan Bible jika mereka membaca al-Quran. Ada yang kata: masalahnya mereka tidak baca al-Quran. Kita tanya; jika al-Quran pun mereka tidak minat baca, macam mana pula mereka berminat membaca Bible? Atau barangkali di rumah mereka tidak ada al-Quran terjemahan? Ataupun mungkin juga cara al-Quran dihuraikan oleh sesetengah kita menjadikan orang salah faham atau tidak minat dengan al-Quran.
Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa pelbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?
Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami al-Mu‘asir, 3/438).
Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh pelbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan pentafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan dialog tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di pelbagai saluran.
Hari ini tidak ada Abu Bakar yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.
- Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.