KUALA LUMPUR 3 April – Cadangan untuk mewujudkan satu undang-undang bagi membolehkan umat Islam yang bekerja diberi cuti penuh untuk mengerjakan haji disokong penuh oleh pelbagai pihak.
Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, cadangan cuti penuh itu memberikan lebih kemudahan kepada golongan pekerja di negara ini.
‘‘Tetapi saya hanya sokong jika ia merupakan ibadah haji yang pertama bagi mereka dalam tempoh sepanjang hayat bekerja.
‘‘Bukan apa, jika diberi kemudahan ini bagi ibadah haji untuk kali kedua atau lebih, ia mampu menjejaskan produktiviti negara,’’ katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim meminta kerajaan mempertimbangkan supaya diwujudkan satu undang-undang bagi membolehkan umat Islam yang bekerja diberi cuti penuh untuk mengerjakan haji.
Menurut beliau, golongan pekerja sebelum ini biasanya mengerjakan haji selama 40 hari dengan mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji.
Menurut Dr. Mohd. Asri, sebenarnya cuti untuk menunaikan fardu haji tidak semestinya selama 40 hari, sebaliknya 20 hari sudah mencukupi.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut perlu dirunding dengan semua pihak terbabit dan terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, cadangan itu amat bernas kerana ia dapat ‘menyelamatkan’ cuti tahunan golongan pekerja dan mereka tidak perlu mengambil cuti tanpa gaji.
‘‘Golongan pekerja ini perlu diberi gaji penuh dan cuti tahunan mereka pula tidak terjejas (untuk mengerjakan haji). Cuepacs sentiasa memberi sokongan terhadap cadangan tersebut,’’ tambahnya.