Sunday, March 25, 2007
Mufti Perlis : Al-Quran Bukan Untuk Di Tanam
Oleh Kamarulzaman Pid

PUTRAJAYA: “Kenapa al-Quran mahu ditanam? Perbuatan seperti itu tidak ada nilainya,” kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau mengulas hasrat penjelajah negara, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir untuk menanam al-Quran sejurus menyempurnakan ekspedisi di Kutub Utara yang akan bermula 4 April depan.

Dr Mohd Asri berkata, perbuatan menanam al-Quran sebenarnya tidak melambangkan penghormatan kepada kitab suci umat Islam itu.

“Perbuatan itu menyalahi maksud sebenar al-Quran diturunkan kepada umat Islam. Al-Quran diturunkan kepada umat Islam untuk dibaca dan dijadikan panduan dalam kehidupan, bukan untuk ditanam.

“Jadi, saya menasihati beliau (Sharifah Mazlina), fikirkan semula hasratnya itu,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Sharifah Mazlina meluahkan hasratnya itu sebagai bukti orang Islam mampu melakukan sesuatu yang bersejarah dalam ekspedisi itu.

Beliau turut mendakwa beberapa pakar agama bersetuju dengan cadangannya itu.

Sebelum ini, beliau pernah menanam al-Quran di Antartika ketika memulakan ekspedisi merentas benua itu pada Disember 2004.

Dalam perkembangan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, berkata perbuatan menanam al-Quran adalah sesuatu yang baru.

“Satu ketika dulu pernah al-Quran diletakkan di bulan oleh seorang berbangsa Mesir yang dikirimkan menerusi roket Amerika Syarikat.

“Namun, usaha beliau (Sharifah Mazlina) untuk sampai ke kutub itu memang perlu dipuji. Saya rasa niat untuk berbuat demikian adalah baik iaitu untuk menunjukkan orang Islam pernah sampai ke tempat itu,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Abdullah berkata, hal itu akan dibincang dan fatwa mengenainya akan dikeluarkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di Kuala Terengganu, Terengganu, dari 10 hingga 12 April depan.

“Kita ada muzakarah dan biarlah perkara berkenaan diselesaikan golongan profesional.

“Kita mencari penyelesaian dan titik pertemuan. Jangan pula kita cari perbezaan untuk masyhurkan seseorang.

“Paling penting, jangan kita menidakkan usaha yang sudah berjalan selama ini,” katanya pada sidang media di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, semalam.

Muzakarah itu turut membincangkan mengenai isu pameran jin dan hantu serta isu mualaf berbinkan nama asal bapa yang heboh diperkatakan masyarakat sekarang.

Majlis Fatwa Perlis sebelum ini mengeluarkan fatwa yang mewajibkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam mengekalkan nama bapa atau nama keturunan mereka pada dokumen pengenalan masing-masing.

Isu pameran hantu dan jin pula timbul apabila Lembaga Muzium Negeri Sembilan menganjurkan pameran itu bermula dari 10 Mac lalu hingga 31 Mei depan.

Pameran itu mendapat teguran Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Dr Mohd Asri yang menegaskan pameran itu tidak memberi faedah.
posted by drmaza @ 11:14 AM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters