Tuesday, February 27, 2007
Pelajar sains patut dapat zakat: Mufti
Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Konsep pengagihan zakat untuk golongan fisabilillah (berjuang kerana Allah untuk menegakkan syiar Islam) yang selama ini hanya membabitkan pelajar miskin jurusan agama patut diperluaskan kepada pelajar bidang kritikal seperti sains dan teknologi.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata konsep pemberian zakat hanya kepada pelajar agama boleh dianggap sebagai tafsiran sempit yang tidak akan merealisasikan matlamat untuk memartabatkan Islam dan umatnya.

Malah, beliau juga dukacita kerana lebihan wang zakat setiap tahun tidak disalurkan kepada golongan yang berhak, menyebabkan masalah umat Islam masih berlarutan.

“Ramai anak orang Islam mahu belajar pelbagai ilmu untuk memartabatkan Islam dan negara, bagaimanapun kuotanya terhad. Jadi kenapa tidak digunakan wang zakat berlebihan itu untuk meneruskan pengajian, kerana mereka juga fisabilillah.

“Jika konsep sedia ada diteruskan, bermakna kita mengamalkan konsep Islam yang sempit kerana hanya menganggap pelajar jurusan agama seperti pengajian fekah dan usuluddin saja berjuang menegakkan Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Rahim Bakar mendedahkan beratus juta wang zakat yang dikutip setiap tahun, gagal diagihkan sepenuhnya kepada penerima yang layak kerana kelemahan pengurusan zakat di negara ini.

Beliau memberi contoh kutipan zakat PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2005 berjumlah RM126.7 juta, manakala pada 2004 berjumlah RM111 juta.

Daripada jumlah itu, peruntukan disalurkan ialah RM50 juta, tetapi jumlah sebenar disampaikan hanya sekitar RM35 juta kerana kelemahan pengurusan berpunca daripada sikap kurang proaktif kakitangan menyalurkan bantuan dengan alasan tiada permohonan diterima daripada golongan sasar.

Jika diteliti nisbah kutipan zakat dan pengagihannya kepada kumpulan sasar, hanya 60 peratus disalurkan setiap tahun. Bagaimanapun, lebihan wang zakat tidak diketahui sama ada digunakan untuk tujuan kebajikan lain atau disimpan. Contohnya, daripada RM111 juta kutipan pada 2004 itu, hanya RM56.6 juta diagihkan.

Berikutan itu, Mohd Asri akan memulakan langkah meneliti konsep pengagihan zakat di Perlis bagi memastikan semua yang berhak dan layak diberi bantuan.


“Bagaimanapun, setakat ini sudah ada pelajar selain jurusan agama memperoleh pembiayaan pengajian mereka,” katanya.

Katanya, sejajar pendekatan Islam Hadhari yang menjadi amalan sekarang, matlamat untuk mencapai status negara maju dan progresif seharusnya disusuli dengan tindakan lebih terbuka.

“Tentu kita tidak akan menjadi umat mampu berdaya saing, sedangkan peruntukan sedia ada tidak digunakan sebaik mungkin hanya kerana pengurusan (zakat) yang tidak tepat.

“Islam adalah agama yang lengkap, tetapi jika diteliti konsep pemberian zakat kepada fisabililah di negara ini, adalah amat mendukacitakan,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan sepenuhnya pengajian pelajar Islam sama ada di dalam atau luar negara menggunakan wang zakat adalah antara langkah terbaik ke arah memartabatkan Islam di negara ini.
posted by drmaza @ 9:50 AM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters