Pandangan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai hukum memasang lagu atau menyiar filem orang yang sudah meninggal dunia juga cukup menarik. Ulama di Malaysia berbeza pendapat tentang soal ini. Sebahagian ulama mengharamkan kita mendengar nyanyian atau menonton filem orang yang sudah tiada. Ada juga yang menghalalkannya; masing-masing mempunyai dalil sendiri.
Dalam hal ini, mufti muda berusia 36 tahun ini berpendapat ada tiga kategori seni mengikut kelas-kelasnya dalam bab atau hukum pemutaran lagu atau penyiaran filem orang yang sudah meninggal dunia.
"Ini bukan pasal pemasangan lagu atau penyiaran filem atau drama sahaja. Ia berkaitan dengan isi dan kandungan lagu tersebut. Sekiranya kandungan sesuatu lagu itu baik dan boleh menghasilkan kebaikan, dan memberi nasihat juga mengikut peraturan-peraturan atau disiplin yang ditetapkan, ia dibolehkan.
"Dalam kategori kedua pula, sekiranya kandungan sesuatu lagu atau filem itu tidak positif dan tidak juga negatif dan tidak menyeru kepada keburukan mahupun kebaikan seperti lagu-lagu jenis puisi, ia sesuatu yang harus. Kita juga tidak dapat apa-apa, hanya hasil seninya sahaja," kata Dr Asri.
"Dan kategori ketiga sekiranya kandungan lagu tersebut ada niat yang tidak betul dan meninggalkan kesan negatif pada orang ramai setelah penyanyi atau pelakon itu meninggal dunia, maka dia akan mendapat dosa. Namun, seandainya penyanyi tersebut sudah bertaubat dan kemudian dia mati, orang yang memasang lagu-lagu penyanyi tersebut yang akan mendapat dosa."
Menurut Dr Asri lagi, kalau kandungan sesuatu kerja seni itu mempunyai nilai-nilai negatif dan orang akan terkesan sehingga membentuk sikap yang tidak baik, ia dianggap telah menyumbang kepada pencemaran kehidupan seseorang, maka dia memperolehi dosa kerana dia menyumbang ke arah yang negatif.
“Dalam bab orang yang hidupkan semula, pasangkan, siarkan atau memperdengarkan semula lagu orang-orang yang sudah tiada, kita kena berbalik kepada tiga kategori di atas. Jika ia jatuh dalam kategori pertama, yakni tidak melanggar peraturan Islam, hukum-hakam dan ia sesuatu yang baik, iaitu baik pada penghasilan, maka kedua-duanya mendapat pahala. Di sini yang dimaksudkan orang yang memasang lagu tersebut dan juga arwah si penyanyi atau pelakon.
"Islam tidak melarang hiburan atau menolak seni yang biasa. Kita dibolehkan berhibur dengan keadaan yang munasabah dan tidak melampaui batas. Bagaimanapun jika kita hanya fokus kepada hiburan sepenuhnya untuk happy dan tidak fikir kepada menjalankan kewajipan yang dituntut ke atas kita, itu salah."
Dalam kategori kedua, atau kandungan sesuatu hasil seni itu membawa kepada unsur negatif, si pemutar lagu atau penyiar filem itu menanggung dosa.
"Dan bagi si penyanyi yang sudah tiada -- seandainya dia mengharapkan kerja seninya yang negatif itu berterusan setelah ia tiada, ia juga berdosa. Namun sekira semasa hidupnya dia menghasilkan sesuatu kerja seni yang negatif (misalnya ia disertai dengan kemaksiatan atau kemungkaran seperti pergaulan bebas, minum arak dan bermacam-macam lagi), namun dia menyesal dengan apa yang telah dihasilkan sebelum ia meninggal, dia tidak menanggung dosa pada apa yang dia benci. Jadi pada mereka yang hidup, jangan diteruskan apa-apa."
"Orang yang sudah meninggal tidak dipertanggungjawabkan atas apa yang dia tidak suka kerana jika demikian seolah-olah dia dianiaya. Dalam agama, seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Sekiranya usaha yang salah itu diteruskan itu bermakna kesalahan yang diwarisi."
mStar Online: Bagaimana pula dengan pendapat sesetengah ulama yang mengharamkan kita mendengar atau melihat lagu atau filem orang yang sudah tiada?
Dr Asri: "Kita tidak boleh kumpulkan semuanya dalam satu atau generalise semuanya sama kerana pendapat itu tidak dapat diterima. Kalau sesuatu hasil seni itu menggalakkan kepada pergaulan bebas, maka orang yang menyanyi dan menyiarkan akan dapat "saham" pada kejahatan itu. Contohnya macam lagu-lagu Cat Stevens, lagu-lagu yang dihasilkan sekarang mengajak ke arah kebaikan."
Tidakkah persembahan, nyanyian atau apa saja kerja seni itu mengasyikkan?
"Dalam apapun juga persembahan mahupun pekerjaan banyak perkara yang mengasyikkan. Kita berbual, bersembang pun boleh mengasyikkan. Selagi perkara mengasyikkan itu tidak membuat seseorang itu meninggalkan tanggungjawabnya, ia masih dianggap rasional."
Apakah isi kandungan atau kandungan sesebuah lagu yang dibolehkan dalam Islam?
"Selagi ia tidak menyeru kepada pergaulan bebas, perzinaan atau apa saja perlakuan yang salah."
Bagaimana pula lagu-lagu yang memuja atau memuji kekasih?
"Pujian atas kebaikan akhlak atau paras rupa isterinya iaitu menyebutnya dengan kadar-kadar yang tidak melampaui batas atau sopan seperti lagu-lagu Melayu yang dianggap tidak keterlaluan seperti terjemahan perasaan suami pada isteri dibolehkan.
Lainlah kalau seruan mengadakan perhubungan sesuatu yang diharamkan oleh agama atau mengandungi unsur lucah.
"Hukum ini juga berbalik kepada tiga kategori yang saya sebutkan di atas iaitu adakah ia menyeru kepada positif atau negatif? Kita sendiri kena ada sikap mampu menapis. Kita kena ada sikap sedia membentuk generasi atau masyarakat yang bersopan.
“Berbalik kepada persoalan di atas, seandainya klasifikasi seni itu jatuh pada kategori 1 (positif) atau 2 (tidak positif dan tidak juga negatif), ia boleh diteruskan. Jika hasil seni itu jatuh dalam kategori ketiga, ia mesti dielakkan kerana ia mampu menyeru kepada kerosakan masyarakat."
Lagu yang bagaimana yang dianggap mempunyai unsur negatif?
"Sebahagian dari lagu-lagu rock, atau contohnya lagu 'Aku Penganggur' (nyanyian allahyarham Sudirman Hj Arshad) yang menggalakkan orang menganggur. Semua ini tidak positif, bagi kredit pada orang yang menganggur. Apa sahaja lagu di mana penyanyi itu berbangga dengan aktiviti negatifnya ataupun lagu-lagu yang berunsur kelucahan yang dinyanyikan oleh Paris Hilton dan Britney Spears tidak boleh."