Wednesday, February 21, 2007
Umat Islam Sedang Hadapi Krisis Pemikiran Yang Sempit
Daripada Adnan Jahaya

JAKARTA, 20 Feb (Bernama) -- Umat Islam di Nusantara kini sedang berhadapan dengan krisis pemikiran yang sempit menyebabkan wujudnya masyarakat Islam yang berpuak-puak, kata Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Katanya antara kesan daripada krisis pemikiran itu ialah sikap suka melabelkan orang lain yang tidak bersetuju dengan aliran mereka sebagai tidak Islamik.

"Mereka tidak mahu menerima pandangan orang lain dan tidak mahu beri peluang untuk orang bertanya mengenai perkara tertentu," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada seminar Pembangunan Pemikiran Islam Antarabangsa di sini hari ini.

Sebelum itu Dr Mohd Asri membentangkan kertas kerja bertajuk "Peranan Al-Sunnah Dalam Menilai dan Mengawal Pemikiran Agama" pada seminar anjuran bersama kerajaan Perlis, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jemaah Muhammadiah, Indonesia itu.

Beliau berkata pemikiran sempit segelintir umat Islam itu boleh menyumbang kepada kemunduran umat Islam ketika kaum daripada agama lain berlumba-lumba untuk maju.

Mengenai Islam yang dilabelkan sebagai ganas dan militan, beliau berkata ia antara lain berpunca daripada umat Islam yang berfikiran sempit dan menjadikan amalan keganasan dan militan sebagai penyelesai masalah.

Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata keganasan dan militan yang dikaitkan kepada Islam juga sebenarnya adalah rekaan musuh Islam yang melihat kes-kes tertentu sebagai sesuatu yang menyeluruh.

Mufti itu berkata Islam perlu diberi imej baru bagi mengembalikan keagungannya dan ia menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam.

Masalahnya yang sedang dihadapi, menurut Dr Mohd Asri ialah ada di kalangan ulama yang menolak pandangan baru yang bertujuan mewujudkan kebangkitan Islam kerana mereka telah terikat dengan pandangan dan kefahaman lama.

Sebagai contoh, beliau berkata dalam hal zakat, umat Islam terikat dengan perkara-perkara terlalu asas sehingga tiada usaha ke arah mengembangkan peranan zakat kepada perkara-perkara yang boleh memajukan umat Islam.

Katanya zakat boleh membantu melahirkan lebih banyak cendekiawan Islam seperti pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, ketenteraan dan ilmu sains.

Sementara itu, lebih 100 peserta yang terdiri daripada ulama dan cendekiawan Islam Malaysia dan Indonesia menghadiri seminar selama tiga hari yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini.

Seminar yang julung kali diadakan itu bermula Ahad lalu dan berakhir petang ini.

-- BERNAMA
posted by drmaza @ 10:17 AM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters