Ada ketikanya penggunaan istilah yang salah boleh membawa kesan sangat buruk kepada kefahaman orang lain terhadap sesuatu perkara. Lebih malang lagi jika membabitkan kefahaman orang terhadap agama. Dalam pemerhatian saya, antara fahaman yang buruk yang membabitkan agama ialah menjadikan Melayu nama ganti kepada Islam, manakala Cina sebagai ganti kepada kafir.
Maka ada orang Melayu yang menyatakan kepada orang yang baru menganut Islam ‘masuk Melayu’, atau kadang kala mereka sebut ‘bukan Islam, Cina!’. Seakan-akan bagi mereka Cina mewakili kafir, Melayu mewakili Islam.Sehingga lebih buruk lagi apabila mereka melabel sepanjang hayat seorang bukan muslim yang berbangsa Cina jika menganut Islam sebagai muallaf, lebih buruk dalam loghat utara ‘mat loh’.Seakan-akan hanya Melayu saja yang dapat jadi Muslim sejati, adapun seorang Cina walau macam mana kuat pun Islamnya, dia tetap dianggap sebagai menumpang atau ‘tidak asli’.
Padahal ramai orang Cina yang menganut Islam dan keIslaman mereka begitu baik, dan berapa banyak pula orang Melayu lahir dalam keluarga Muslim, namun keislaman mereka harus dan wajar dipertikaikan.Kain pelikat, baju Melayu dan sampin, bukan pakaian Nabi Muhammad SAW.
Namun orang Melayu menganggap ia pakaian berunsur agama, kerana ia budaya Melayu. Ya! Islam juga tidak menghalang budaya yang tidak menyanggahi nas-nasnya. Namun, seketika dulu orang Melayu menganggap salah jika makan dengan sepit, kerana menyamai budaya orang Cina.
Walaupun tiada beza antara makan dengan sepit dengan makan menggunakan sudu dan garpu Inggeris. Apa yang Nabi SAW suruh ialah menyebut nama Allah, menggunakan tangan kanan dan makan bahagian yang sudah diperuntukkan, atau yang hampir. Ini seperti sabda Nabi SAW kepada ‘Umar bin Abi Salamah ketika dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:
“Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Orang Melayu akan suruh orang Cina yang menganut Islam menukar nama mereka, lalu diganti dengan nama Arab. Seakan-akan nama seperti Ah Chong, Ah Seng, Lim, Koh, mewakili kekufuran. Mungkin kerana tidak berbunyi Arab, lalu orang Melayu rasa janggal. Malangnya, orang Melayu tidak berasa janggal dengan nama Awang, Leman, Seman dan yang seumpamanya yang semuanya bukan bahasa arab.
Bahkan banyak nama Melayu yang tidak ada makna pun dalam bahasa Arab.Lebih daripada itu, ada yang maknanya buruk jika diterjemahkan ke dalam dalam bahasa arab.Pun tidak mengapa kerana itu nama-nama pilihan Melayu. Apakah Melayu itu Islam, Islam itu Melayu!!.
Nabi SAW sendiri tidak menyuruh mereka yang menganut Islam pada zaman.Baginda mengubah nama, melainkan nama-nama yang membawa makna yang tidak baik. Nama ‘Umar itu sejak zaman jahiliyyah lagi dan itulah namanya apabila dia menganut Islam.Demikian juga kebanyakan sahabat lain. Saya tidak membantah orang Cina yang ingin mengubah nama.
Apatah lagi jika dengan mengubah nama itu menjadikan mereka kelihatan hampir dengan masyarakat Islam di seluruh peringkat. Namun mereka mesti diberi pilihan. Jika mengubah nama menjadikan orang Cina yang bukan-Muslim takut untuk menganut Islam, seakan-akan terbuang dari keluarganya yang asal dan hilang hubungan kerabat, apa salahnya mereka kekal dengan nama asal?.
Jika Awang boleh kekal, mengapa Ah Chong tidak?Anggapan yang men’seiras’kan Islam dengan watak Melayu sangat buruk kesannya dalam banyak hal. Apatah lagi apabila watak bangsa Melayu sekarang sebahagiannya bertentangan dengan Islam. Sementara, banyak watak bangsa Cina banyak padanya akhlak dan tabiat yang dipuji oleh Islam. Cuma kelebihan yang tidak dapat dipertikaikan, ramai orang Melayu bariktikad dengan akidah Islam berbanding dengan orang Cina di Malaysia ini. Akidah yang sahih adalah penyelamat utama kehidupan akhirat.
Namun tidak boleh dinafikan, ramai Melayu yang hanya bernama dengan nama Muslim, sedangkan keimanannya kepada Allah dan Rasul-Nya kadang-kala lama musnah. Betapa ramai Melayu melakukan syirik, mempersendakan hukum-hakam Allah dan sunnah Rasul-Nya. Melayu jenis ini hanya bernama dengan nama Muslim, tetapi tidak berada dalam daerah iman, atau dalam kata lain terbatal imannya.
Orang Cina pula, disebabkan fenomena sejarah, menjadikan majoriti mereka tidak menganut Islam di Malaysia ini. Seruan Islam mungkin tidak jelas sampai ke pengetahuan mereka. Ditambah lagi orang Melayu yang menganut Islam ini tidak menyampaikan dakwah yang jelas. Sebaliknya dalam banyak hal mempertontonkan kepada mereka watak yang menyanggahi Islam.
Orang Melayu boleh berbincang bermacam-macam perkara dengan orang Cina, termasuk mengajak undi parti pilihan mereka. Namun mereka tidak mampu membincangkan mengenai kehebatan Islam, dan mengajak orang Cina menganut agama pilihan mereka. Bahkan sikap Melayu yang banyak tidak seiras dengan Islam menjadikan sebahagian besar orang Cina salah faham terhadap Islam atau jelek untuk menganut Islam.
Sifat malas, kurang berusaha, berdendam kesumat dan seumpamanya adalah sifat yang diperangi oleh Islam.
Malangnya, banyak sifat ini terlihat pada diri masyarakat Melayu. Ramai pelajar Melayu yang lemah serta ketinggalan dalam pelajaran dan ilmu pengetahuan. Jika mereka bersaing dengan pelajar Cina sama ada di sekolah atau universiti, dalam banyak keadaan pelajar Melayu kecundang. Hinggakan dalam persoalan ilmu Islam, orang Melayu tidak berminat dengan ilmu Islam yang tulen. Mereka lebih minat cerita Israiliyyat, kisah dongeng, petua yang tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka lebih suka maklumat yang diperoleh secara mudah tanpa fikir dan kaji.
Perpustakaan awam dan buku-buku, nisbah orang Melayu yang menggunakannya dan membaca masih lagi nipis. Lebih buruk lagi, dalam masa pelajar Cina berusaha dalam pelajaran mereka, pelajar Melayu ramai pula yang cuai. Namun begitu apabila hampir kepada tarikh peperiksaan sesetengah ibu bapa Melayu akan mencari kismis jampi atau air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang.
Hasilnya, apabila keputusan peperiksaan keluar, pelajar yang berusaha tentu lebih cemerlang daripada yang hanya bergantung dengan air atau kismis jampi. Kalau orang Cina yang belum Islam tersalah faham mengenai Islam dengan menganggap perbuatan pelajar Melayu yang bergantung dengan air yang dianggapnya agama Islam, lalu mendapat keputusan yang kurang baik daripadanya, tentu dia menolak Islam.
Islam tidak mengajar hanya berjampi untuk menjadi cerdik. Dalam hadis ada beberapa sahabat yang didoakan Nabi SAW agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang Baginda doakan untuknya: “Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran) - Riwayat al-Bukhari.
Ibn ‘Abbas muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabat yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun, Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa Baginda datang bergolek, sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperoleh ilmu.
Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada Baginda SAW selama tiga puluh bulan. Kemudian Baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas 13 tahun. Beliau terus mengambil hadis daripada sahabat seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu’az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Abu Sufyan, Abu Zar, Ubai bin Ka’b, Zaid bin Thabit dan lain. Berguru al-Quran dengan Ubai bin Ka’b dan Zaid bin Thabit. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 3/332-337, cetakan: Maktabah al-Risalah, Beirut).
Ertinya terlaksananya kehendak Allah dengan peraturan yang Allah tentukan untuk alam ini, iaitu sebab musabab. Ilmu datang dengan usaha dan kesungguhan. Para ulama seperti al-Imam al-Bukhari (w. 256H), al-Imam al-Syafi’I (w. 204H), Ibn Taimiyyah (w. 728H) dan seumpama mereka mereka menjadi jaguh ilmu setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.
Ditanya al-Imam al-Syafi’i. Dalam Tawali al-Ta`nis bi Ma’ali Muhammad bin Idris karangan Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H); kata Ibn Abi Hatim: “Aku mendengar al-Muzani (murid besar al-Imam al-Syafi’I) berkata: “Ditanya kepada al-Syafi’I: Bagaimana perasaan inginanmu terhadap ilmu? Jawabnya: “Apabila aku mendengar satu perkataan yang belum pernah aku dengar, maka seluruh anggota inginkan jika mereka memiliki pendengaran agar dapat menikmati apa yang dinikmati oleh kedua telinga”. Bagaimana halobamu terhadap ilmu?.
Jawabnya: “Seperti haloba pengumpul harta yang begitu menjaganya dalam mencapai kelazatan hartanya”. Bagaimana keadaan engkau mencari ilmu?. Jawabnya: “Seperti pencarian seorang wanita yang kehilangan anak tunggal”. Demikianlah juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang disebut oleh muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim (w. 751H) bahawa karangan gurunya mencapai 350 buku. Beliau dikatakan sentiasa mendampingi ilmu. Hidupnya dengan ilmu.
Dalam Raudah al-Muhibbin Ibn al-Qayyim menyebut: “Syeikh kami (Ibn Taimiyyah) menceritakan kepadaku: “Apabila aku sakit, tabib menyatakan kepadaku: “Sesungguhnya mentelaahmu dan cakapmu dalam ilmu pengetahuan menambahkan sakitku”. Jawabku: “Sesungguhnya aku tidak sabar untuk itu. Aku ingin menilai pandanganmu dengan ilmu perubatanmu; tidakkah jiwa apabila ia gembira dan suka maka tabiatnya menjadi kuat dan menolak penyakit?”. Jawab dia: “Ya”. Aku berkata: “Sesungguhnya diriku bergembira dengan ilmu, maka tabiatnya menjadi kuat, lalu aku mendapati kerehatan.”
Demikianlah ulama yang cemerlang. Mereka tidak bergantung kepada air jampi atau pensel dan pemadam jampi sebelum memasuki peperiksaan. Juga tidak air surah Yasin yang masyarakat Melayu sering meminum airnya dengan melupakan kandungan ayatnya.
Generasi lalu cemerlang kerana mementingkan ilmu dan ikhlas kepada Allah dalam menuntutnya. Bukan hanya mementingkan sijil. Sikap mereka yang ikhlas terhadap ilmu dan berusaha agar cemerlang dalam bidang yang diceburi membawa Islam gemilang dan terbina tamadun ilmunya.
Ramai anak Melayu hanya mementingkan sijil tetapi tidak kualiti ilmunya. Akhirnya ramai yang mendapat sijil, namun tidak tertonjol kualitinya. Maka, lahirlah golongan yang tiada sijil dan ada ilmu dalam masa yang sama yang lebih malu ialah golongan yang ada sijil, tiada ilmu. Ini kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk menjawab peperiksaan, apabila tamat peperiksaan ilmu pun hilang.
Kalaulah air jampi berfungsi tanpa perlukan kesungguhan ilmu tetapi betul dalam peperiksaan, maka itu tentu melahirkan lebih ramai pelajar lulus atau berjaya tanpa ilmu.
Kita kadang-kala patut memuji masyarakat Cina. Ada anak orang Cina yang tidak tinggi persekolahan mereka, tetapi mempelajari sesuatu bidang dengan tekun sekali tanpa sijil. Mereka sama ada mewarisi ilmu ibu bapa mereka, atau mempelajarinya secara praktikal daripada orang lain. Maka ramai mekanik cina yang sijilnya tidak tinggi tetapi maju.
Demikian juga kebanyakan tauke besar Cina yang pakar dalam pelbagai bidang perniagaan sekalipun tanpa sijil rasmi. Mereka terus mencari peningkatan. Tabiat kesungguhan ini adalah sesuatu yang disukai oleh agama. Agama menggalakkan agar kita sentiasa bergantung kepada Allah dan menambah ilmu. Firman Allah (maksudnya) “Katakanlah: Wahai tuhan! Tambahkan daku ilmu” (Surah Taha:113).
Walaupun ustaz Melayu dan orang Melayu selalu membaca hadis palsu; “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China” (Ini hadis yang palsu seperti yang disebut ulama. Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut/ / Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/600, cetakan: Maktabah al-Ma`arif, Riyadh.). Orang Cina tidak membaca hadis palsu ini, namun mereka bertungkus lumus menuntut ilmu. Budaya membaca mereka lebih kuat daripada orang Melayu.