Soal Jawab: Akidah luntur punca masyarakat Islam mundur
Ilmu tauhid cetek, pemikiran ulama dipengaruhi falsafah Greek sebabkan iman Muslim celaru
SEJAK pandangannya mengenai isu khalwat, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus mendapat perhatian. Pelbagai cemuhan dan pujian diterima daripada pelbagai pihak termasuk parti politik. Wartawan Berita Minggu, Tuan Nazuri Tuan Ismail menemubual beliau bagi mendapatkan pandangan mengenai masalah yang melanda umat Islam seluruh dunia selain mengupas isu semasa.
Apakah pandangan Dr Asri mengenai masalah sebenar yang melanda umat Islam seluruh dunia ketika ini?
Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan kini semakin mundur dan hilang peranan. Hasil daripada hilangnya akidah yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat saja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Maghribi. Mereka bukan saja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen.
Ada istiadat dan pegangan bangsa yang bercanggah syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di Pakistan umpamanya, dinafikan hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan daripada empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suami. Isteri dipukul dan diseksa dan ini seperti sudah menjadi budaya setempat.
Wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Ali Tantawi pernah berkata, "Majoriti Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan – agama ini, maka mereka berada di belakang umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh Islam (menghina Islam).
Apakah faktor yang menjadikan umat Islam begitu lemah, ditindas dan bergaduh sesama sendiri. Malah, kebanyakan negara miskin dan mundur adalah negara Islam.
Secara umumnya, kemunduran ini berpunca daripada beberapa faktor. Jika difokuskan kepada pemikiran hukum atau perkembangan pegangan syariat di dunia Islam, faktor itu ialah hilangnya teras akidah dalam penyampaian syariat Islam. Hilang kefahaman yang betul terhadap tuntutan dua kalimah syahadat. Islam tidak difahami bermula daripada persoalan akidah.
Pada hal itu adalah teras dan asas. Maka syirik serta khurafat berleluasa dalam dunia Islam. Syirik, tahyul dan khurafat menghilangkan Islam tulen yang menjadi teras kepada ketamadunan. Bermula dari tangkal, mentera syirik sehingga kepada meyakini sistem yang lain setanding dengan Islam.
Muhammad Qutb pernah berkata dalam karyanya Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat:... (berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan...
Bagaimana Dr Asri melihat ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam tulen turut menjadi faktor kepada kejatuhan dan kemunduran umat dan negara Islam?
Ramai Muslim yang akidah mereka menyimpang dan menuju kesesatan, bahkan mungkin ke arah murtad. Di sesetengah negeri pengajaran mengenai perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa dan beberapa tajuk fekah yang lain lebih diutamakan dibandingkan pengajaran mengenai perkara yang membatalkan akidah.
Hasilnya, ramai Muslim mengetahui perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa dan seumpamanya, namun jahil mengenai perkara yang membatalkan iman.
Umat Islam juga mudah dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ia seperti sifat Allah, ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.
Untuk mengelakkan guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: "Siapa banyak bertanya maka lemah imannya. Maka, akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.
Akidah yang diajar Nabi Muhammad SAW adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami semua lapisan umat. Persoalan akidah mesti difahami mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehingga kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai.
Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar, bagaimana golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?
Pengaruh Yunan dalam pemikiran sebahagian umat Islam menyebabkan mereka menjadikan ilmu itu sebagai akidah dan meminggirkan persoalan asasi dalam akidah Islamiah.
Bagaimana pula dengan ancaman bidaah dalam syariah Islam.
Kemasukan fahaman karut, dianggap melemah dan merosakkan wajah Islam yang tulen. Amalan bidaah menghilangkan fokus umat terhadap pembangunan minda dan kefahaman yang jitu.
Seperti kata Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwi dalam karya Madha Khasira al-'Alam bi Inhitat al-Muslimin: "Halangan syirik, kejahilan dan kesesatan hampir menutupi tauhid Islam yang bersih. Maka, masuk ke dalam sistem agama bidaah yang mengambil tempat yang luas dalam kehidupan Muslimin.
Adakah Dr Asri berpendapat golongan agama yang lemah dari pelbagai segi turut menjadikan umat Islam seluruh dunia juga lemah.
Dalam sejarah Islam, golongan agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. Islam yang syumul membentuk pemikiran ulama supaya kritis, maju dan membangun. Golongan ulama yang berkualiti ini terus wujud sepanjang zaman. Namun, jumlah dan penguasaan mereka berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Jumlah ulama yang berkualiti seperti disebut dalam hadis ini adalah kurang.
Selain kurang, pemikiran ulama juga dipengaruhi pemikiran Greek dari ilmu kalam yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih daripada itu ilmu kalam menukarkan pengajian akidah kepada perkara yang menyusahkan minda, tidak berguna dan menyusahkan.
Pelajar agama juga bertukar menjadi penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarahan dan nota kaki. Namun, dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga dapat berfikir secara sendiri. Ia menyebabkan ulama kehilangan keaslian ilmu dan menjadi golongan taklid yang hanya memetik daripada orang lain.
Lebih teruk, mereka menjadi golongan taksub mazhab yang berjihad untuk mazhabnya semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab dan syeikh orang lain lalu mereka membela mazhab melebihi daripada membela Islam. Golongan ini juga terpencil dari dunia luar akibat diracun pemikiran kesufian yang melampau. Ia sama seperti tindakan gereja yang membawa kebangkitan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis.
Orang Melayu umpamanya, menganggap anak yang kurang kemampuan akademik, dihantar ke pengajian agama atau pondok. Akhirnya lahir golongan ustaz dan tok guru yang lemah kekuatan minda dan analisisnya.
Skop Islam yang disempitkan golongan beragama yang memberi fokus kepada perkara tertentu saja dikatakan punca umat Islam terus mundur.
Ketika ini, hukum syarak hanya digambarkan berkisar mengenai taharah, haid dan nifas, solat, puasa, zakat dan haji. Akhirnya umat Islam mulai jahil mengenai kesyumulan sistem Islam yang menyeluruh.
Hasilnya, negara Islam kelihatan begitu miskin dan lemah. Kotor, tidak berperaturan, rasuah, mundur dan diperbodohkan. Sedangkan umat Islam memiliki bumi yang subur dan kedudukan yang strategik.
Dr Yusuf al-Qaradawi pernah berkata, "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran daripada galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang.
Sesetengah dunia Islam yang tidak berkualiti, mereka terpaksa meminta sedekah untuk mendapatkan senjata, pengangkutan dan makanan.
Pemerintah dan raja negara umat Islam kelihatan mewah dengan hasil bumi yang dijual atau disamun Barat.
Negara Islam terus berada dalam kemunduran teknologi dan minda, manakala rakyat ramai yang miskin, buta huruf dan tidak terurus.
Berbalik isu semasa, Dr Asri dituduh sebagai tali barut Umno kerana mengkritik pembangkang. Mengapa Dr seperti sengaja membabitkan diri dalam kancah politik dengan membuat kenyataan mengaitkan pembangkang.
Saya bukan ahli politik. Saya tidak ada sebarang minat dalam bidang politik, malah saya tidak menyebut mana-mana politik dalam wawancara itu sebaliknya saya menyebut secara umum.
Komen saya bukan bertujuan menyerang mana-mana parti politik. Tetapi, selepas isu khalwat, ada parti politik begitu aktif menyerang saya.
Kenyataan saya itu adalah sebagai tindak balas kepada serangan yang dibuat terhadap saya bukan kerana saya mahu masuk politik. Selepas itu, ada laman web yang mengkritik dan menuduh saya dengan pelbagai tuduhan yang sangat tidak wajar.
Saya percaya komen dan kritikan itu bukan datang daripada pucuk pimpinan parti berkenaan sebaliknya dilakukan orang atau kumpulan berfahaman Syiah dalam parti itu.
Saya antara orang yang mengkritik Syiah. Pengikut fahaman Syiah dalam parti politik ini menggunakan pandangan saya mengenai isu khalwat untuk menyerang saya. Saya tahu perkara ini.
Jika pembangkang hayati pandangan saya, ia lebih kepada saranan untuk parti pemerintah supaya melakukan perubahan untuk memajukan umat Islam di Malaysia.
Kenyataan itu bukan ditujukan kepada pembangkang, tetapi saranan seorang mufti yang dilantik kerajaan supaya pemerintah mengubah beberapa perkara yang wajar diberi perhatian. Saya tidak faham mengapa pembangkang ‘berasa’ dengan kenyataan saya ini.
Adakah Dr Asri berpendapat pembangkang dikuasai pengikut fahaman Syiah.
Pembangkang di Malaysia dikuasai kumpulan dan fahaman, tetapi yang saya tahu kumpulan Syiah paling aktif. Saya bekerja di Perlis yang mengamalkan Sunnah Wal-Jamaah dan saya bukan ekstremis. Tetapi, saya memberikan pandangan terhadap aliran yang mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Saidina Osman, sahabat Nabi dan menolak imam hadis.
Itu mustahil untuk saya terima. Saya percaya kritikan yang dibuat terhadap saya dibuat kerana perasaan marah pengikut fahaman Syiah yang menguasai sayap satu parti politik tertentu.
Sentimen ini bukan antara saya dengan parti politik berkenaan, tetapi sentimen kumpulan Syiah dalam parti berkenaan yang tidak senang dengan pandangan saya. Isu khalwat itu hanyalah alasan mereka untuk menyerang saya.
Kesimpulan Dr Asri selepas dituduh sebagai tali barut Umno dan tukang kipas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Apa yang boleh saya katakan ialah, ada sesetengah orang jika dia berbudi bahasa kita kehairanan. Jadi saya tidak hairan jika budaya menuduh menjadi budaya hidup mereka.
Setiap pandangan saya mendapat restu dan sudah dibincangkan terlebih dulu dengan kepemimpinan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs). Saya tidak pernah dan tidak boleh membuat pandangan melangkaui pimpinan negeri. Contohnya isu khalwat yang terlebih dulu dibincangkan kerajaan negeri. Saya hanya bercakap dan membuat pandangan bagi pihak kerajaan Perlis sebagai mufti kerajaan negeri.
Kritikan dan pandangan terbuka berhubung isu agama Islam menyebabkan ada pihak yang menyamakan Dr Asri dengan Sisters In Islam (SIS). Apa komen Dr.
Saya tiada sebarang hubungan dan tidak pernah berhubung dengan mana-mana pemimpin dalam SIS. Ketika SIS membangkitkan isu poligami, saya antara orang yang tidak bersetuju pandangan mereka. Kalau ada yang mendakwa saya ada kaitan dengan SIS, dakwaan itu tidak benar sama sekali.
Bagi saya, SIS yang bukan di kalangan sarjana Islam perlu mendapatkan pandangan atau mengadakan perbincangan dengan ulama sebelum membuat kenyataan mengenai sesuatu isu supaya hujah yang dibuat itu berasaskan al-Quran dan Sunnah.
Sarjana Islam dan ulama pula jangan cepat melatah atau menjawab isu yang dibangkitkan SIS dengan emosi, sebaliknya memberi penerangan dengan jelas dan secukupnya.
Ada setengah isu yang dibangkitkan SIS ada kebenarannya seperti hak wanita membabitkan kes cerai dan tuntutan nafkah yang lambat diselesaikan. Saya bimbang, SIS terlalu mengikut acuan Barat yang bertentangan dengan Islam seperti isu poligami dan etika berpakaian, yang sudah tertulis dalam Nas dan tidak boleh dinafikan.
Saya berasa isu dibangkitkan SIS menjadi lebih keliru kerana sikap jumud ulama dan sarjana Islam sendiri yang tidak memberikan hujah berdasarkan persekitaran semasa dan tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah.
Jika SIS membangkitkan sesuatu isu, saya berharap ulama dapat menjawab dengan penuh kesarjanaan bukan menggunakan emosi. Jangan menuduh orang kafir jika isu dibangkitkan berbeza dengan pandangan ulama.
Mukadimah Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia tetapi cukup terkenal kerana wujud beberapa keunikan dalam segi amalan agama termasuk mempraktikkan fahaman Wahhabi di bawah Ahli Sunnah Waljamaah. Selain itu, beberapa isu agama seperti kelonggaran syarat berpoligami mempopularkan lagi negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim ini.
Terbaru, timbul pula isu larangan perbuatan mengintai dalam tangkapan kes-kes khalwat yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama. Kenyataan yang ‘mengejutkan’ banyak pihak itu dibuat oleh Mufti Perlis yang baru, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai salam ta’aruf atau perkenalan selepas beberapa hari mengangkat sumpah jawatan pada 14 November 2006.
Rupa-rupanya, kenyataan oleh mufti berusia 36 tahun itu menyebabkan beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terasa bahangnya. Ini terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin mengakui penguatkuasaan undang-undang berkaitan khalwat di negara ini masih lemah dan perlu diperkemaskan.
Dalam wawancaranya dengan wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan METRA SYAHRIL MOHAMED di pejabatnya di Kangar, Perlis, Khamis lalu, Mohd. Asri menjelaskan secara terperinci visi dan misi beliau sepanjang bertugas sebagai Mufti Perlis.
Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Perlis semasa berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Kata Mohd. Asri, “Jika ulama konservatif bimbang golongan muda membawa perubahan, merekalah yang membuat perubahan. Jika itu yang menjadi ketakutan kepada mereka.
“Saya sedia menerima sebarang kritikan kerana setiap perubahan itu mesti menghadapi tentangan. Bagaimanapun saya tidak kehilangan apa-apa. Saya menjadi mufti pun untuk seketika sahaja,” tegasnya.
MINGGUAN: Bagaimana reaksi yang diterima selepas Dr. mengeluarkan kenyataan melarang intipan sesuai dengan kaedah tajassus dalam kes tangkapan khalwat?
MOHD. ASRI: Sepatutnya para sarjana Islam di negara ini tidak terkejut dengan kenyataan ini. Kalau ada yang membaca tulisan para ulama dahulu dan kini tentang bab tidak boleh mengintai ini, ia dinyatakan dengan jelas. Dr. Yusof al-Qardawi menyatakan dengan jelas, tidak boleh mengambil video, tidak boleh mengintip orang di belakang tabir atau balik pintu. Masalah imej Islam itu ialah bagaimana supaya ia tidak menjadi agama yang disalah sangka.
Isunya bukan menghalang banteras khalwat tetapi prosedur dalam membuat tangkapan termasuk intipan. Ada kira-kira 50 tugas penguat kuasa agama termasuk menahan orang yang tidak sembahyang Jumaat tetapi mengapa khalwat sahaja berjalan?
Khalwat bukan zina. Tuduhan zina perlu dibuktikan dengan empat orang saksi. Khalwat baru tuduhan bersekedudukan dan selalunya dilakukan secara bersembunyi. Maknanya mereka takut. Ini berlawanan dengan mereka yang melakukan maksiat secara terbuka di tempat awam seperti berpelukan lelaki dan perempuan bukan mahram, membeli nombor ekor, berjudi dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, seorang lelaki bernama Mais g berjumpa Nabi dan mengaku berzina. Nabi memalingkan muka ke kanan dan bertanya adakah engkau mempunyai penyakit gila? Barangkali engkau raba atau cium sahaja. Ini menunjukkan Nabi cuba mengelakkan kes bersifat mengaibkan.
Sebab itu Dr. menggesa tumpuan diberi kepada mencegah kemungkaran secara terbuka?
MOHD. ASRI: Ya, kita perlu menumpukan kepada menghapuskan maksiat yang terbuka termasuk merompak, mencuri dan berjudi. Jangan tanya pembangkang. Saya tidak tahu bagaimana negara Islam yang mereka hendak bentuk. Kalau sistem khalwat itu diterima pakai seperti saya tengok di laman web pembangkang, ertinya kalau memerintah, mereka terpaksa membuat negara ini negara special branch. Mereka terpaksa merisik untuk mengetahui jenayah dan maksiat orang lain.
Dalam proses menyerbu bilik-bilik hotel, penguat kuasa bertembung dengan pelbagai perlakuan maksiat termasuk minum arak secara terbuka tetapi tidak ada yang mengambil tindakan. Contoh lain, kalau seorang perempuan ke pejabat agama mengadu dipukul suaminya, barangkali orang agama suruh bersabar dan baliklah perempuan itu. Mungkin dua minggu lagi dia datang dengan telinganya merah dan mengadu disepak suami. Dia sekali lagi disuruh bersabar.
Masalahnya, tidak ada pegawai agama berjumpa suami wanita itu dan terangkan bahawa dia melakukan sesuatu yang menganiayai isteri. Kes begini berlarutan berbulan-bulan, sampai bertahun sedangkan ada artis ternama masuk bilik hotel, pegawai agama cepat sampai. Bila kes cerai, semua cakap tidak cukup masa atau tenaga.
Pandangan Dr. itu dilihat seperti gelombang atau aliran baru golongan ulama muda di negara kita. Tidakkah terdapat kebimbangan terhadap penerimaan oleh mufti atau ulama yang lain?
MOHD. ASRI: Ini wujud kerana proses aliran pemikiran berbeza. Saya seorang yang memberikan pandangan dan tidak menyembunyikan pandangan. Saya menghormati mufti-mufti lain yang bertaraf bapa kepada saya. Namun, apabila perlu, saya akan memberikan pandangan.
Jika ulama konservatif bimbang golongan muda membawa perubahan, merekalah yang membuat perubahan. Jika itu yang menjadi ketakutan kepada mereka. Ada rakan-rakan yang menghubungi saya dan berkata, perkara yang anta (anda) sebut itu betul, baguslah tetapi perlahan la sikit. Bagi saya, kita tidak boleh berlengah lagi. Masalah yang menimpa umat Islam sudah kronik yang memerlukan penjelasan atau pembetulan segera.
Ada banyak lagi isu yang akan dibangkitkan antaranya isu membabitkan wanita. Islam melindungi wanita dengan hukum-hukum talak bagi mengelak wanita dianiaya. Persoalannya, mengapa urusan talak ini mengambil masa sehingga menyeksa batin wanita sedangkan Islam ada banyak peruntukan.
Antara sebabnya adalah wujud pemikiran lama yang menganggap wanita yang berusaha melepaskan diri daripada suami melakukan kesalahan dalam agama. Walhal, ia tidak salah kalau ada sebab.
Mengapa ini berlaku sedangkan terdapat hadis menyuruh kita memudahkan urusan?
MOHD. ASRI: Tujuan kita tubuhkan Mahkamah Syariah adalah untuk memudahkan keadaan. Saya dukacita kepada sesi kaunseling di pejabat agama. Apabila wanita buat aduan untuk melepaskan diri daripada perkahwinan yang menyeksanya, proses itu tidak dimudahkan. Kadang-kadang mereka memberi nasihat supaya bersabar. Berulang aliklah wanita itu naik turun pejabat agama. Tidak juga selesai. Satu kes memakan masa bertahun-tahun.
Ini adalah penganiayaan. Kenapa semua silent? Dulu, kita bising sekejap tetapi keadaan berterusan. Yang kita tengok cepat kalau artis, orang ada duit atau orang besar yang boleh ambil peguam. Tetapi jika orang biasa, suami tidak beri nafkah, macam mana nak ambil lawyer? Bukannya mereka (orang agama) tidak ada ilmu kaunseling tetapi mereka enggan menyusahkan diri membuka fail. Sebahagiannya kerana pemikiran lama yang salah.
Orang Melayu selalu menyebut, tiang arasy bergoncang apabila isteri minta cerai. Benarkah dakwaan itu?
MOHD. ASRI: Tiang arasy tidak bergoncang kerana kita. Arasy Allah Maha Kaya. Seseorang wanita boleh minta cerai kalau dia mempunyai alasan seperti suami zalim, tidak adil atau merasakan tidak ada kesesuaian lagi hidup berumah tangga. Ataupun bimbang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri. Mesej saya, jangan jadikan wanita sebagai kelas kedua atau didiskriminasikan. Jika tidak, dakwaan Barat terhadap Islam akan diakui oleh mereka berasaskan pengalaman berurusan dengan pihak berkuasa agama.
Ada kebimbangan penerbitan bible dalam bahasa Melayu (BM) akan menyebabkan golongan muda terpengaruh kepada ajaran Kristian seterusnya murtad. Adakah ia berasas?
MOHD. ASRI: Kita perlu tanya kenapa orang murtad? Adakah agama kita tidak cukup baik? Salah satu sebabnya kerana dahulu apabila golongan agama mengajar, mereka tidak memberi kefahaman. Jemaah dilarang bertanya sehingga timbul falsafah, siapa banyak bertanya imannya lemah. Pendek kata, jangan banyak tanya, kalau ustaz cakap, terima sahaja.
Itulah puncanya orang pertikai agama. Hari ini manusia bertanya dan mempertikaikan segala- galanya termasuk agama. Maka apabila agama gagal memberi jawapan, orang mula syak kepada agama. Sebenarnya bukan agama yang lemah tetapi orang agama yang tidak mempunyai tahap keintelektualan yang setaraf dengan agama itu.
Islam membimbing manusia berfikir. Contohnya bible dalam bahasa Malaysia. Memang kita hendak menjaga akidah tetapi apa kata orang bukan Islam terutama Kristian jika mereka tahu kita tidak membenarkan bible dalam bahasa Malaysia? Alasannya, takut orang Islam baca dan terpengaruh. Jika ini berlaku, tentu mereka menyangka bible benar dan hujah mereka kuat. Jika begini kita juga akan sampai ke tahap halang anak belajar bahasa Inggeris dan bahasa Arab kerana ada bible dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Sifat takut hanya menunjukkan kelemahan agama.
Mengapa tidak apabila sudah tahu ada gerakan Kristian sedemikian, golongan agama di masjid huraikan segala percanggahan fakta di dalamnya seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Ahmad Deedad? Jika kita mantap dari segi pengetahuan dan akidah keluarlah bible bahasa apa pun kita tidak terjejas. Golongan agama perlu tampil menghuraikannya tetapi mereka takut kerana tidak ada persediaan yang cukup.
Tidak ada persediaan yang cukup dalam mendepani isu-isu yang kontemporari?
MOHD. ASRI: Waktu dulu, ibu bapa hantar anak ke sekolah agama sebagai pilihan terakhir. Anak yang tidak kuat minda atau IQ paling rendah dihantar mengaji di pondok atau sekolah agama. Senario itu kini sudah berubah. Sebab itu, jangan asyik nak menghukum orang murtad. Kalau benar murtad, tanya siapakah yang secara tidak langsung menyebabkan mereka murtad. Jawapnya, sikap golongan agama yang suka menyusahkan orang lain.
Contoh, pada bulan Ramadan banyak fatwa tentang batal puasa sedangkan bukan senang nak batal puasa. Kita suka ke arah menyusahkan. Sebab itu saya berkempen memudahkan fikah, ajar fikah secara mudah difahami dan didekati.
Adakah ini juga penyebab kepada pandangan mengatakan orang Islam tidak boleh menjawab ucapan salam bukan Islam?
MOHD. ASRI: Ini contoh kesilapan masyarakat kita. Sebahagian orang agama mengajar orang Islam tidak boleh jawab salam bukan Islam. Bila mereka sebut assalamualaikum maksudnya selamat sejahtera. Tetapi ada orang agama mengajar kita menjawab waalikum sam, (maut kepada kamu) Walhal al-Quran menyuruh apabila orang memberi ucapan penghormatan maka balaslah lebih baik atau setara dengannya. Tidak ada masalah menjawab.
Tetapi kita diajar dengan akhlak tidak baik. Adakah baik agama yang dikatakan berakhlak tinggi tidak boleh menjawab salam sejahtera seseorang kerana dia bukan Islam? Kita tidak menyertai ibadat orang lain tetapi boleh mengucapkan selamat hari raya kepada kaum Cina atau India seperti juga ucapan selamat pagi. Saya tidak setuju kongsi raya dengan maksud orang Islam jemput bukan Islam hadir sembahyang raya. Ini hanya dalam erti kata ucap selamat sahaja, bukan bermaksud kita reda dengan agama mereka.
Masyarakat masih memandang tinggi institusi ulama termasuk mufti dan Majlis Fatwa. Cuma dalam banyak hal, Majlis Fatwa dilihat agak ke belakang dalam isu-isu terkini terutama melibatkan muamalat dan sains.
MOHD. ASRI: Ia berlaku kerana terdapat orang agama yang enggan mengambil risiko. Para ustaz perlu berubah. Di Malaysia, apabila sesuatu kemajuan sains dicapai, Islam dicari untuk mendapatkan pandangan soal halal haram. Para ulama kena bersidang untuk menjawab apa hubungan kemajuan itu dengan Islam. Sepatutnya, Islam memimpin kita tetapi hari ini Islam yang terpaksa diketuk untuk ditanya pendapat. Sebab itu dalam dunia hiburan, golongan agama hanya mengkritik artis dan filem dan bukannya menentukan garis panduan filem atau seni.
Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan usaha menarik muda-mudi mendekati agama. Hal ini seolah-olah tiada penghujungnya?
MOHD. ASRI: Bagi saya, yang penting ialah kandungan lagu atau mesej filem, bukan penampilan. Kadang-kadang, lagu-lagu Kopratasa ada yang lebih mendekati Islam berbanding lagu-lagu nasyid. Pemikiran kita, kalau Islam, semua kena pakai ketayap, pukul gendang dan menyebut nama Allah atau rasul sedangkan ada lagu-lagu yang menyebut tentang alam sekitar dan sebagainya jauh lebih baik.
Lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Ramli Sarip banyak mempunyai nilai-nilai keislaman. Golongan agama hanya tahu mengkritik tetapi tidak menyediakan panduan untuk diguna pakai oleh industri hiburan. Mereka lebih cenderung mengharamkan hiburan. Rasulullah tidak pernah menghapuskan hiburan tetapi membimbing hiburan.
Bagi saya, jangan lihat siapa yang menyanyi tetapi lihatlah kandungannya. Pada masa yang sama program-program yang ditayangkan kurang membangunkan minda... lebih mengajak kita berfikir secara selekeh. Ini perlukan perhatian. Saya mencadangkan garis panduan standard di peringkat negara dalam bidang seni. Majlis Fatwa atau institusi mufti keluarkan tag ‘dicadangkan untuk ditonton’ macam logo halal terhadap filem-filem atau sesebuah rancangan bagi menghidupkan industri seni yang ‘halal’.
Para ulama kena duduk bersama-sama artis dan karyawan. Setakat ini tidak ada kerjasama atau pertemuan dijalankan membabitkan ulama dan golongan seni. Pemikiran sesetengah golongan agama mundur dan mereka perlukan pendekatan baru.
Semua ini berkait rapat dengan penguasaan ilmu. Bagaimana tahap pendidikan orang Islam berbanding bukan Islam?
MOHD. ASRI: Soal memajukan minda masih menjadi sesuatu yang dipaksa tetapi bukannya budaya. Ini mendukacitakan. Cuba tengok di perpustakaan, kaum lain lebih positif dan ramai mentelaah. Orang Melayu pula, di mana ada artis dan konsert hiburan, penuhlah mereka. Kalau pesta buku dan program ilmu mereka tidak tertarik menghadirinya. Selagi umat Islam tidak dijadikan ilmu itu sebagai budaya, kita akan gagal menguasai apa sahaja.
Kebelakangan ini, timbul trend wanita tidak berkahwin mengambil pil hormon supaya boleh menyusukan anak angkat. Apakah kesannya?
MOHD. ASRI: Perbuatan ini tidak salah kerana ia mewujudkan anak yang mahram dengan wanita yang menyusukannya. Cuma saya ingin melihat kepada konteks yang lebih luas iaitu mengapa wanita begini tidak mahu berkahwin. Mereka ada wang, pelajaran dan status. Satu kajian mengenai hal ini perlu dibuat untuk mengenal pasti puncanya.
Naluri manusia ialah mahukan anak dari darah daging sendiri. Saya bimbang urusan kesukaran dalam perkahwinan seperti perceraian yang tertangguh menakutkan mereka.
Adakah ini juga mendorong kahwin misyar?
MOHD. ASRI: Saya antara orang yang menyokong kahwin misyar. Syaratnya, jika wanita berkenaan menghalalkan nafkah zahir, harta dan sebagainya. Kita perlu faham bahawa apabila wanita yang berkedudukan tinggi, lelaki tidak berani meminangnya. Jadi jika wanita itu melamar lelaki dengan tujuan mendapatkan zuriat yang sah serta menghalalkan bab yang lain termasuk tidak kisah jika hanya dapat bersama suami dua malam seminggu, Islam membenarkannya. Masalahnya, masyarakat kita terutama wanita tidak benarkan poligami tetapi perempuan simpanan tidak apa.
Bukan kita menggalakkan poligami tetapi memudahkan. Bagi mereka terutama pertubuhan wanita yang membidas cadangan ini perlu membuat kajian teliti. Jangan terlalu emosi dan hanya memperjuangkan nasib wanita bergelar isteri. Kita jangan mengharamkan apa yang dihalalkan.
Selepas melontarkan pelbagai idea yang dianggap ‘mengejutkan’ tidakkah Dr. tertekan?
MOHD. ASRI: Sedikit sebanyak perasaan itu ada. Tetapi yang penting bagi saya ialah melihat agama Islam itu dihormati. Kadang-kadang kita yang menimbulkan isu seolah-olah memperlihatkan kebodohan kita. Saya sedia menerima kritikan kerana setiap perubahan itu mesti menghadapi tentangan.
Mana-mana pihak yang rasa tersilap perlu mengubahnya. Saya berharap ramai yang akan menjadi agen perubahan kerana masa tidak menunggu kita. Saya tidak kehilangan apa-apa. Saya menjadi mufti untuk seketika. Kerja saya memberi cadangan dan alternatif ke arah meningkatkan imej Islam.
Mana-mana pihak tidak kira parti politik atau individu yang merasakan cadangan saya membawa kebaikan kepada agama, marilah sama-sama memberi sokongan dan menjadi agen perubahan. Matlamatnya, menjadikan Islam itu imej yang lebih baik sesuai dengan ketinggian dan kesucian agama itu.
Masjid kita tidak mesra remaja, kanak-kanak
Satu hal yang membimbangkan ialah masalah sosial terutama golongan remaja Islam. Mereka seolah-olah tidak mahu berjinak-jinak dengan masjid. Mengapa?
MOHD. ASRI: Dalam kes gejala sosial, kita jangan tanya kenapa muda-mudi tidak mahu kepada Islam. Jangan juga kita menyalahkan orang itu, orang ini di samping pihak yang dipersalahkan itu mungkin juga benar. Kenapa kita tidak menyalahkan juga golongan agama dan mempersoalkan kenapa agama yang suci ini tidak diminati?
Dewasa ini, kuliah di masjid hambar yang mungkin sesuai untuk yang menunggu hari ke alam barzakh atau kelab orang-orang pencen. Suasana begini tidak boleh menjadi pusat muda-mudi. Teknologi maklumat dan komunikasi tidak dimanfaatkan.
Ia berlaku antara lain disebabkan pendekatan masjid yang tidak mesra remaja dan kanak-kanak kerana kejumudan pengurusan. Fungsi masjid perlu dipelbagaikan sebagaimana pada zaman Rasulullah s.a.w.
Pada zaman nabi pelbagai urusan dibuat di masjid termasuk pertunjukan pedang orang Habsyah. Kalau mampu saya ingin meminta masjid memperluaskan skopnya. Mengapa hanya ustaz mengajar di masjid dan tidak guru matematik, sains atau fizik?
Masjid secara tidak langsung mensekularisasikan pemikiran menjadikan agama terbatas dalam soal fikah bersifat hukum.
Mengapa tidak masjid menyediakan tuisyen percuma Bahasa Inggeris seperti ustaz yang berada di depan. Melalui kelas sedemikian, mereka akan tertarik ke masjid mempelajari akademik, bukan hanya mendengar kuliah fikah yang mengajar solat.
Guru sains, profesor dan saintis juga boleh duduk di depan. Itu sifat tamadun Islam dulu tetapi hari ini, hanya ustaz di depan.
Adakah Dr. mencadangkan supaya institusi masjid di negara kita direformasi semula agar fungsinya lebih menyerlah?
MOHD. ASRI: Masjid telah menjumudkan dirinya. Kita mesti membuat pembetulan secara serius. Pengurusan masjid masih tidak mesra kanak-kanak dan remaja. Anak-anak diletakkan di saf paling belakang. Bagaimana bukan Islam tertarik dengan Islam? Ceramah dan forum banyak tetapi mereka tidak berminat kerana pendekatan yang jumud dan tidak berasaskan hujah.
Islam tidak pernah mundur tetapi pemikiran orang agama kita yang mundur. Ada masjid yang menghuraikan bab agama menggunakan kitab-kitab lama yang menggunakan bahasa lama.
Kadang-kadang kitab itu ceritanya lama, babnya pun lama dan isu lama. Hanya bercakap bab samak kulit, fasal kapur dan serbuk kayu. Sekarang orang tidak pakai lagi bahan tersebut sebaliknya menggunakan bahan- bahan kimia. Pemikiran lama buku atau kitab itu tidak salah kerana dikarang zaman emak ayah kita tetapi pembacanya salah. Golongan agama tidak mengambil kira faktor semasa ketika menghuraikannya.
Mengapa pemikiran yang memisahkan agama dengan dunia berlaku sedangkan Islam tidak menghalang umatnya menikmati hidup di dunia dan jangan lupakan akhirat?
MOHD. ASRI: Ia bermula dari institusi pengajian di pondok-pondok. Dahulu, mereka enggan memasukkan subjek akademik dan anggap ia sekular. Pemikiran konservatif yang jumud ini menyebabkan Islam tidak boleh berkembang.
Satu lagi faktor ialah agama telah dicampuri unsur parti dan politik. Segala perbincangan agama ditafsirkan secara politik dan ada kumpulan politik mengambil kesempatan di atas perbincangan agama untuk menjadikannya modal pilihan raya.
Dalam isu khalwat, ada parti tertentu begitu marah dalam hal ini kenapa? Sebabnya, kaedah yang saya ungkaikan, banyak parti sangkut. Ada parti politik yang suka mencari kesalahan lain untuk menghukum.
Mereka bukan lihat isu khalwat tetapi me lihat jika orang Muslim lain tidak boleh mengintai kesalahan orang lain maka itu menyusahkan kerja politik mereka.
Saya bukannya orang politik dan politik bukan urusan saya... urusan saya adalah fakta. Apa yang saya suarakan bukannya pandangan tetapi satu aliran terutama di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ada orang politik menyedari yang sekarang ada orang yang membawa Islam dalam nada berbeza iaitu membincangkan Islam tanpa memilih parti atau kumpulan. Jika ia berterusan kita akan lihat satu perkembangan Islam yang bersifat postif dan dinamik.