Sunday, February 25, 2007
Terima kasih PM – Mufti
KANGAR 23 Feb. – Mufti kerajaan negeri Perlis, Dr. Mohamad Asri Zainul Abidin (gambar) berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengarahkan supaya usaha mewujudkan kumpulan pengintip untuk mengesan perbuatan sumbang atau maksiat dihentikan.

Dr. Mohamad Asri memberitahu Bernama di sini, arahan yang dikeluarkan Abdullah sejajar dengan pandangan kerajaan Perlis sendiri yang awal-awal lagi tidak bersetuju terhadap tindakan mengintip bagi mengesan perbuatan maksiat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tempatan yang memetik kenyataan Abdullah pada sidang media di Jakarta, Indonesia sebelum berlepas pulang pada akhir lawatan kerja dua harinya ke republik itu.

Abdullah dipetik sebagai berkata bahawa pasukan pengintip tidak perlu ditubuhkan untuk mencegah maksiat walaupun setiap negeri mempunyai bidang kuasa undang-undang di bawah Jabatan Agama Islam.

Abdullah berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan Terengganu mempertahankan tindakannya menggunakan khidmat individu tertentu sebagai pemberi maklumat kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi mengatasi kes maksiat di negeri tersebut.

Mohamad Asri berkata, beliau bersyukur kerana pandangan yang pertama kali dicetuskannya sebelum ini mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan negara walaupun timbul pelbagai pendapat dan spekulasi berhubung cadangan beliau itu.

Mohamad Asri berkata, beliau juga hairan terhadap tindakan kerajaan Terengganu yang selama ini melaungkan konsep Islam Hadhari tetapi mengambil pendekatan menggunakan kumpulan pengintip bagi mengesan perbuatan sumbang atau maksiat di negeri tersebut.

‘‘Saya sangkakan ini sebagai sesuatu yang direstui oleh kerajaan pusat tetapi dengan adanya arahan Perdana Menteri yang meminta semua negeri supaya menghentikan penggunaan kumpulan pengintip tersebut, barulah saya sedari bahawa tindakan itu bukanlah arahan di peringkat pusat,’’ katanya.

Mohamad Asri berkata, orang ramai boleh merujuk kepadanya untuk mendapatkan enam garis panduan yang disediakan dalam membanteras perbuatan sumbang atau maksiat tanpa menggunakan kumpulan pengintip.

– Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0224&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_03.htm&arc=hive
posted by drmaza @ 10:55 AM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters