Sunday, August 5, 2007
Mudahkan Pendekatan Islam, Jangan Eksklusifkannya
AMAT memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua.”

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan.

Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira latar kehidupan dan pendidikan.

Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah lagi: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).

Firman Allah juga: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisaa’: 28).

Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama yang telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Semoga Allah memberikan pahala untuk mereka. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja. Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati.

Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan. Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan pelbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai-bagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi s.a.w. yang sahih.

Ini seperti menetapkan pelbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu. Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya. Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-sunah tidak menyatakan demikian.

Kecenderungan

Di samping itu kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang keliru. Umpamanya syarat niat yang bukan-bukan sehingga ada buku menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur.

Padahal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat. Maka dengan itu kita katakan ‘membunuh dengan niat’, sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya, kononnya belum masuk niat.

Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat? Demikian juga mendetilkan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincang.

Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian. Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi s.a.w. lantas menyanggahi logik insan.

Hal ini berbeza dengan arahan baginda s.a.w. Sabda baginda: Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (Riwayat al-Bukhari).

Pendekatan Nabi s.a.w. adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini. Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmum yang pelbagai di belakangnya. Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan.

Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti falsafah-falsafah yang memeningkan. Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadangkala guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: “Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya…”

Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.

Akidah Islam adalah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu menyukarkan.

Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami. Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan terpelajar dan cerdik pandai. Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi s.a.w., para perwakilan yang datang mengambil dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah… Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat (1991). Sebab itu – barangkali – dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan.

Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal. Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbang jiwa dan akal secara fitrah, bukan falsafah yang menyusahkan.

Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan. Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap.

Memahami

Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan. Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirnya diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita muslimah kita. Mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat. Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.

Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang soleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain. Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang soleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya. Adakah Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang soleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riak dalam amalan?

Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan: “Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riak (menunjuk-nunjuk).” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadangkala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa. Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak demikian rupa kehidupan mereka.

Sehingga Dr. Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali r.h dengan katanya: “Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat – sekalipun secara tidak langsung – bahawa insan contoh di sisi al- Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, sunah dan sirah.

“Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmati nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah s.w.t, antara beribadat dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Apabila ada wartawan bertanya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab: “Begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar. Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara.

“Sebelum menjawab saya ingin kata: Kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat. Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.”

Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal sepertimana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi s.a.w. dan para sahabah baginda.

Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.

sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
posted by drmaza @ 8:36 AM  
Friday, August 3, 2007
Jadual Kuliah

Kuliah RiyadusSalihin’

Oleh Dr Mohd Asri Mufti Perlis

4hb Ogos 2007

Hari Sabtu Jam 10 Pagi

Di Surau Taman Sri Ukay.

Kuliah RiyadusSalihin’

Oleh Dr Mohd Asri Mufti Perlis

5hb Ogos 2007

Hari Sabtu Jam 10 Pagi

Di KGPA.(Kelab Golf Perkhidmatan Awam)

Labels:

posted by drmaza @ 2:30 PM  
Wednesday, August 1, 2007
Kenyataan Mufti Perlis
KENYATAAN MUFTI KERAJAAN NEGERI PERLIS
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN BERTARIKH
1 OGOS 2007

"Seperti mana yang saya gesa dalam tulisan saya tentang keperluan memahami fikah yang betul dalam berinteraksi dengan non-muslim, maka saya sekali lagi menggesa di sini agar semua pihak khusus pihak pengurusan agama memasukkan dalam sukatan pengajian di universiti, sekolah-sekolah agama dan masjid satu mata pelajaran khas tentang hal ini. Dengan kita memahami Islam yang sebenar, yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang bersifat mudah dan realitik, maka imej Islam akan lebih terserlah di hadapan mata non-muslim. Segala salah faham mereka terhadap agama -akibat dari salah kita terhadap sikap Islam dalam berinteraksi dengan mereka- akan dapat dihapuskan. Bahkan semoga itu menjadi cahaya penyuluh yang membawa mereka kepada keindahan Islam".
posted by drmaza @ 3:49 PM  
Sunday, July 29, 2007
Keluasan Menerima Pendapat, Keperluan Muslim Moden
DAHULU atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen.

Sikap seperti itu dinamakan fanatik atau taksub.

Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak lain memberi hujah dan dalil yang kukuh. Sesuatu pendapat sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta.

Fanatik berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu sehingga membawa permusuhan sesama Islam. Dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidilharam, umat Islam bersolat dengan empat imam yang mewakili mazhab masing-masing. Makmum memilih imam yang sesuai. Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Bayangkan jika hal tersebut berterusan sehingga hari ini.

Selepas Rasulullah s.a.w. wafat, baginda meninggalkan ramai sahabat yang merupakan ilmuwan besar. Namun, tiada di kalangan sahabat menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain.

Perkara yang seperti itu tidak pernah didakwa oleh Khalifah yang empat, atau ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka lebih memahami syariat Rasulullah.

Malangnya, apabila muncul imam-imam mazhab seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain- lain tokoh, tiba-tiba ada di kalangan pengikut mereka yang taksub mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambilnya dari imam lain.

Ini seperti pengikut fanatik mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat selain dari mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik mazhab Malik membantah Morocco mengambil pendapat selain dari mazhab Malik. Atau pengikut fanatik mazhab al-Syafii membantah orang Malaysia mengambil selain dari mazhab al- Syafii.

Kontradiknya, kita mengakui mereka adalah tokoh-tokoh sarjana Ahli Sunah, tetapi kita menolak keilmuan mereka hanya kerana daerah yang kita duduki. Padahal, para imam itu tidak pernah mengajar demikian dan negara-negara yang wujud ini belum terbentuk pada zaman mereka.

Tokoh terkenal, Dr. Abd al-Karim Zaidan berkata: “Pendapat mazhab-mazhab yang muktabar diterima oleh pengikut mereka di atas andaian benar dan menyampaikan seseorang kepada hukum Allah. Hendaklah difahami bahawa andaian benar ini dikongsi oleh semua mazhab Islamiah yang muktabar, bukan hanya terkumpul pada satu mazhab. Maka tidak harus untuk pengikut salah satu mazhab ini menganggap bahawa telah terhimpun dalam mazhabnya kebenaran dalam setiap pandangan. Lalu menganggap salah sesiapa yang menyanggahi mazhabnya. Ini perkara yang tidak pernah diucapkan oleh mana-mana mazhab, tidak pernah mereka menyandarkan hal seperti ini kepada diri mereka dan tidak pernah menganggap kebenaran hanya terkumpul dalam ijtihad mereka. Bagaimana mungkin pengikut mereka pula mendakwa perkara yang seperti ini?” (Dr. Abd al-Karim Zaidan, Al-Sunan al-Ilahiyyah, m.s. 147, Beirut: Muassasah al-Risalah 2002).

Perbuatan

Dalam dunia akademik tulen, perbuatan seperti itu dianggap menyanggahi norma-norma keilmuan yang menuntut keluasan minda dan penelitian fakta. Alangkah ruginya sikap sedemikian, yang bererti kita menghalang perkembangan pengetahuan dan kesarjanaan hanya kerana perbezaan nama tokoh dan daerah kita tinggal. Padahal kita berkempen agar mengambil manfaat dari dunia lain.

Kita pernah berkempen “Dasar Pandang ke Timur”, sekalipun mereka bukan Muslim. Kita mengambil ilmu dan menggerakkan negara dari ilmu Barat atau Timur yang membolehkan kita maju ke hadapan, tanpa mengira latar agama. Tiba-tiba ada pula yang menyatakan; anda tidak boleh mengambil pendapat al-Imam Ahmad, atau al-Imam Malik, al-Imam Al-Auza’i, al-Imam Ibn Hazim al-Andalusi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah, atau tokoh moden seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mustafa al- Zarqa, al-Albani, al-Uthaimin atau selain mereka kerana bukan mazhab al-Syafii.

Padahal dunia ilmuwan akur kesarjanaan mereka. Jika kita menolak pendapat mereka hanya kerana nama, maka itu sentimen puak atau kejumudan minda bahkan itu adalah pengkhianatan ilmiah juga penghapusan khazanah ilmu.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dengan jelas dalam masalah ini menyebut: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah s.w.t. Seakan-akan menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka.

“Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabat dan mereka yang selepas sahabat sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (penganalisis) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.”
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bin al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah)

Pandangan mazhab sebahagian besarnya adalah ijtihad yang terdedah untuk dinilai pihak lain. Maka kita berhak mengambil pandangan lain yang pada nilaian kita lebih dekat kepada fakta dan mampu menterjemahkan wajah Islam. Umpamanya, pendapat mazhab al-Syafii, yang membolehkan bapa berkahwin dengan anak zinanya, barangkali tidak wajar dipertahankan terutama ketika menerangkan Islam kepada dunia. Apakah Islam yang mengharamkan mengahwini seseorang wanita hanya kerana susuan akan menghalalkan anak zina? (lihat: Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1987).

Demikian juga jika pendapat awal ulama al-Syafii dikekalkan yang mensyaratkan urusan jual beli mempunyai lafaz, tentu sukar untuk kita membeli minuman atau makanan dari mesin-mesin canggih yang ada. Bahkan di sana banyak perkara yang menuntut seorang Muslim melihat luar dari kerangka mazhabnya terutama tentang hubungan dengan bukan Muslim, zakat, wakaf, perkahwinan dan sebagainya.

Bahkan pandangan-pandangan agama yang menyusahkan tanpa dalil dari al-Quran dan al-Sunah patut dielakkan terutama untuk generasi moden yang mula fobia dengan agama. Apatah lagi yang baru menganut Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: “Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al- Sunah. Kedua-duanya tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang Muslim bebas dari terikat dengan mana- mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuwan sahaja.

“Inilah jalan para sahabat dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fikah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu.”
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah 2001).

Ulama

Tokoh fikah, Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyebut: “Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafii atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan Rasul-Nya.

“Allah dan Rasul-Nya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan tokoh tertentu, dan bukan yang lain. Firman Allah: (maksudnya): Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui. Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabat dan tabien tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam atau mazhab tertentu dalam semua masalah. Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat.

“Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh… Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan rajih di sisi ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan – seperti yang dijelaskan. Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum yang telah ditetapkan oleh mazhab- mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetilannya.”
(Al-Zuhaili, Dr. Wahbah, al-Rukhas al- Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair 1993).

Sebelum ini tulisan-tulisan saya telah menjelaskan, betapa keterikatan atau sempit dengan satu-satu pendapat tanpa melihat kepada dalil dan logik akan menjadikan kita tidak ilmiah bahkan boleh menyanggahi sifat Islam yang suka kemudahan untuk umatnya. Umpamanya, ada yang bimbang makan dari bekas hidangan bukan Muslim, kalau-kalau pernah terkena khinzir dan belum dibasuh tujuh kali serta air tanah.

Saya katakan, pertama; kita tidak patut mengandaikan perkara yang tidak nampak. Kedua; pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Tidak ada dalil yang menyatakan khinzir wajib dibasuh tujuh kali termasuk air tanah. Pendapat ini disokong tokoh besar mazhab al-Syafii sendiri – walaupun berbeza dengan mazhabnya - iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut dan diterima pakai banyak karyanya di Nusantara ini.

Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafii (meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam mazhab al-Syafii. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak.” (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafii, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al- Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 2003).

Bagi saya pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapal terbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan Muslim. Namun yang menfatwakan supaya diminum air tanah bagi sesiapa yang telah termakan sosej khinzir beberapa tahun lepas, tidak ada akal yang sejahtera yang dapat menyokong hal itu. Apatah lagi dalil syarak. Sepatutnya, kenyataan seperti itu jangan disiarkan dalam media. Hanya memalukan umat Islam.

Tiada seorang sahabat pun yang masuk Islam, baginda Nabi memerintah dia meminum air tanah. Bersikap terbukalah kita dengan mendengar dalil orang lain. Islam dengan tafsiran yang sempit sukar untuk dipasarkan kepada umat moden.

sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
posted by drmaza @ 10:17 AM  
Sunday, July 22, 2007
Keperluan Fikah Interaksi Dengan Bukan Muslim
SAYA rasa amat berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar dan perbincangan isu-isu murtad. Walaupun pihak penganjur mempunyai alasan mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu seminar besar dibuat tentang orang ramai menganut Islam.

Dalam politik pilihan raya, pelbagai akhbar parti akan menyiarkan cerita ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama ada benar atau tidak, itu merupakan perang psikologi yang akan melemahkan jentera parti musuh dan semangat pengundi.

Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu, dan patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini.

Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang adapun ingin meninggalkannya. Mereka yang menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan itu – secara langsung atau tidak langsung – memainkan peranan penting melemahkan umat ini dari dalam dan menghalang orang lain daripada menghampiri agama yang suci ini.

Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Saad bin Abi Waqqas sebelum peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara, antaranya: “...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketakwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita” (Dr. ‘Ali al-Salabi, Umar bin al-Khattab, m.s. 420, Kaherah: Dar al-Tauzi’ Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).

Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk umat yang tewas hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini. Jika Umar menyatakan: “..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka,” realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya.

Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam begitu banyak, bahkan zakat berlebihan saban tahun – walaupun yang miskin terus menderita. Pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak.

Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, Perlembagaan dan berbagai-bagai lagi yang berpihak kepada kepentingan Islam. Namun mengapa kita masih kelihatan bagai kita umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak?

Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul.

Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini benar-benar digerakkan?

Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan muslim hidup di kalangan masyarakat muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realitinya, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka dan kita.


Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Namun barangkali kita gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka.

Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif. Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk perilaku mulia umatnya.

Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.

Malangnya, fikah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan; pegawai agama itu memberitahunya “jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.”

Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya ‘waktu masuk Islam 8 pagi sehingga 5 petang’. Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi persaingan ini.

Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab. Padahal Allah menyebut dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan daripada mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang-alik ke tempat ibadat mereka untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula kurang memberi kepada mereka.

Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal.

Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian. Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: “Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan hatinya” (11/424).

Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping. Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit.

Kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik, namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.

Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitulmal, zakat yang ‘berlebihan’ dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik muslim dan bukan Muslim mendekati agama ini.


Ironinya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat pahala. Hal ini tidak benar. Pada zaman Nabi s.a.w. kaum Muslimin juga pada awalnya berat untuk memberikan bantuan kepada selain dari kalangan mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperoleh jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah.

Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya): “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim, orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala selagi tujuannya mencari keredaan Allah. (lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).

Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberi kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah). Malah zakat boleh diberi kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam.

Dalam tulisan sebelum ini saya telah huraikan hal ini. Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Tidak hairan jika zakat ‘berlebih-lebihan’ saban tahun, sedangkan masalah umat bertambah.

Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim. Padahal dalam hadis disebut: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w. satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang Yahudi.” Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.

Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi s.a.w. Diizinkan bukan Muslim masuk mendengar kuliah atau ceramah agama atau mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman nabi.

Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi s.a.w. dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif.

Banyak lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fikah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.

sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
posted by drmaza @ 8:34 AM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters