Monday, May 21, 2007
Mufti Perlis di Media Singapore
Oleh Suhana A. Samat


NAMA Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tiba-tiba menjadi tumpuan media di Malaysia kerana keberaniannya mengeluarkan pandangan menarik serta kontroversial dalam isu agama.

Pandangannya juga dianggap tidak konservatif - daripada isu skuad khalwat kepada isu mewajibkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam mengekalkan nama bapa atau nama keturunan mereka.


Baru-baru ini pula, Dr Mohd Asri menegaskan adalah tidak salah bagi orang Islam menjawab salam, Assalamualaikum, yang diberikan oleh golongan bukan Islam.


Siapa sebenarnya Dr Mohd Asri? Sebelum ini, beliau pernah dipetik sebagai berkata golongan konservatif kelihatan 'ketinggalan' dalam fatwa yang dikeluarkan.


'Saya bukan seorang yang liberal. Saya pendukung pemodenan yang ingin merombak keadaan,' katanya.


Anak jati Bukit Mertajam itu dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 pada usia 35 tahun. Beliau mufti termuda di Malaysia.


Dr Mohd Asri mendapat pendidikan di Kolej Islam Klang sebelum me nyambung pelajaran peringkat Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam Bahasa Arab dan Syariah.


Beliau selanjutnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengajian Islam dan doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Hadis.


Dr Mohd Asri memulakan kerjaya sebagai pensyarah USM pada 2003 sebelum ditawarkan jawatan Mufti Perlis, tetapi pada masa yang sama, beliau juga pensyarah Pengajian Islam di universiti tersebut. Beliau dikatakan menguasai ilmu hadis, bahasa Arab dengan mendalam dan banyak mengetahui fatwa pelbagai mazhab.


Penguasaan beliau dalam bidang hadis dikatakan memberinya kelebihan untuk mengeluarkan pandangan yang terkini dan kontemporari dengan masalah umat Islam masa kini.


Dr Mohd Asri pernah juga berkata bahawa Islam mesti menunjukkan satu keharmonian imej.

'Masanya telah tiba untuk berubah. Ini satu percubaan. Kita kena bayar harga percubaan itu, kita harus berani mengambil risiko. Agama Islam tidak ada masalah. Ini kerana berlaku salah pentafsiran dan ia perlu dibaiki,' jelas beliau.


Namun, bagaimanakah penerimaan pandangan beliau di kalangan golongan asatizah di sini?

Diminta mengulas oleh Berita Harian, Ustaz Azmi Abdul Samad, Konsultan Agama Al-Qiblah International Consultants, mengaku sebahagian daripada fatwa Dr Mohd Asri memang menarik walaupun ia agak kontroversial di kalangan sebahagian masyarakat.


'Tertimbulnya kontroversi ada kalanya kerana hukum itu adalah ijtihad yang dilakukan demi menangani isu semasa dan tidak pernah atau jarang diketengahkan oleh sebahagian ulama atau para asatizah ke tengah masyarakat. Tetapi, kadangkala, berlaku juga kontroversi semata-mata kerana masyarakat memang kurang terdedah kepada masalah khilafiah yang dibincangkan oleh para fuqaha,' jelas Ustaz Azmi.


Beliau menambah, secara umum, seseorang yang mendalami ilmu agama akan mendapati ulama memang kadangkala mempunyai pandangan yang berbeza.


Menurutnya, ini berlaku kerana terdapat perbezaan pendapat ketika mentafsirkan sesuatu ayat suci Al-Quran atau hadis Nabi.


'Umat Islam haruslah menerima perbezaan pendapat ini dengan lapang dada dan fikiran terbuka. Kita tidak harus menjadikan perbezaan pendapat sebegini sebagai penyebab untuk berselisih pendapat, saling tuduh-menuduh atau bermusuhan,' jelasnya.


Menurut Ustaz Azmi, dalam zaman teknologi maklumat, memang masyarakat Islam Singapura terdedah kepada maklumat yang begitu luas dan boleh mendapati pandangan-pandangan agama atau fatwa-fatwa daripada pelbagai sumber.


Namun, beliau menasihatkan agar sekiranya mereka tidak faham, adalah lebih baik bertanya kepada golongan yang ahli.


'Ini kerana kadangkala sesuatu jawapan yang diberikan oleh seorang ustaz adalah berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh orang yang bertanya atau keadaan beliau yang berada di sesuatu tempat.


'Maka sesuatu fatwa atau pandangan agama yang diberikan oleh ulama kadangkala khas untuk seseorang atau sesuatu golongan tetapi tidak semestinya sesuai untuk orang atau golongan yang lain,' jelasnya.


ANTARA ISU YANG DIKETENGAHKAN DR MOHD ASRI


Skuad khalwat

Meminta supaya kaedah penguat kuasa agama yang mengintip dan menyerbu bilik-bilik hotel untuk menangkap pasangan yang berkhalwat dan kemudian dibesar-besarkan di media dihentikan segera kerana ia mengaibkan pasangan yang terlibat.


Pameran alam misteri

Mengesyorkan pameran alam misteri bertemakan Hantu & Jin...? anjuran Muzium Negeri Sembilan dihentikan kerana 'ia hanya mengkhayalkan masyarakat'.


Ekspedisi ke Kutub Utara

Menegur hasrat penjelajah Malaysia, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, menanam Al-Quran selepas menyempurnakan ekspedisi di Kutub Utara kerana menanam Al-Quran sebenarnya tidak melambangkan penghormatan kepada kitab suci umat Islam itu.


Tukar nama bukan Islam

Mewajibkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam mengekalkan nama bapa atau nama keturunan mereka pada dokumen pengenalan masing-masing bagi menangani masalah di kalangan orang bukan Islam yang sebelum ini sering merungut hak mereka dinafikan untuk mengekalkan nama keturunan mereka apabila memeluk agama Islam.


Menjawab salam orang bukan Islam

Menjelaskan adalah tidak salah menjawab salam daripada orang bukan Islam.


Menurutnya, terdapat kekeliruan hadis Nabi saw yang menyuruh dijawab 'waalaika' (ke atas kamu) terhadap salam golongan ahli kitab. Ia disebabkan ada ahli kitab pada zaman Nabi apabila memberi salam menyebut 'assamualaikum' yang bermaksud 'maut atau kemusnahan ke atas kamu'. Nabi lantas menyuruh ucapan itu dijawab dengan ungkapan 'waalaikum' sahaja.


Hadis ini merujuk suatu kejadian atau keadaan apabila orang Yahudi memberikan ucapan salam secara main-main dan berniat mempersendakan dengan mengubah lafaznya yang kedengaran hampir sama tetapi maksudnya amat berbeza.


Tetapi, hadis ini bukan untuk semua keadaan. Keadaan sekarang berbeza apabila terdapat orang bukan Muslim memberikan salam dengan cara yang betul dan penuh serta tujuannya betul pula iaitu mengucapkan kesejahteraan kepada kita.

http://cyberita.asia1.com.sg/luarnegara/story/0,3617,96209,00.html?
posted by drmaza @ 11:23 AM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters