Sunday, March 25, 2007
Kenapa Kita Gagal Membina Semula Tamadun?
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Dalam sebuah cerita rakyat, kononnya seorang buta telah diberikan penglihatan dalam beberapa minit. Ketika dia celik, dia hanya berpeluang untuk melihat seekor kaldai yang ada di hadapannya. Kemudian penglihatannya dibutakan kembali. Maka dia selepas itu apabila disifatkan sesuatu kepadanya, dia akan bertanya: “Adakah ia seperti kaldai?”. Atau dia akan berkata: “Bagaimanakah ia jika dibandingkan dengan kaldai?”.Cerita itu mungkin dongengan semata. Namun ia menggambarkan keadaan insan yang tidak pernah melihat perkara lain, melainkan sesuatu yang tertentu sahaja, maka segala gambaran dan andaiannya tertumpu, atau terkait dengan apa yang pernah dia lihat sebelumnya.

Sekali lagi saya ingin memperkatakan soal membina ketamadunan. Banyak pihak bercakap atau berkempen agar umat Islam menjadi umat yang maju dan kembali membina tamadun kegemilangan. Malangnya kekadang pihak yang dikempen atau mungkin yang berkempen itu sendiri tidak memahami teras dan asas ketamadunan dalam Islam. Maka apabila bercakap soal kemajuan terus sahaja tergambar oleh mereka kemajuan atau tamadun yang sedang mereka saksi di zaman ini iaitu Tamadun Barat. Hingga tidak tergambar oleh mereka selain dari kehidupan Barat. Apatah lagi jika dibandingkan kemunduran bangsa-bangsa yang menganut Islam pada hari ini. Justeru, bagi mereka seakan jika kita ingin maju dan bertamadun kita mesti memiliki segala yang dimiliki oleh Barat, berbudaya ala Barat, bergaya ala Barat, berbahasa dengan bahasa Barat, berhiburan dengan hiburan Barat dan seterusnya. Tamadun dan kemajuan umat Islam lampau hanyalah catatan sejarah yang boleh dibaca tetapi boleh disaksikan lagi. Sama seperti cerita orang buta dan kaldai tadi. Dia hanya dapat membayangkan apa yang pernah dia tengok. Maka lebih tergambar difikirannya kaldai dibandingkan binatang lain yang hanya diceritakan kepadanya, sedangkan dia tidak pernah melihatnya.

Pendek kata, untuk menjadi maju pada hari ini, ramai umat Islam yang sangka mereka kena ceduk apa yang ada di Barat. Untuk menceduk teknologi Barat, prosesnya susah dan panjang. Juga bukan mudah untuk Barat mengajar kesemua ilmu tersebut, kerana itu tidak membuahkan keuntungan jangka masa panjang untuk mereka. Perkara yang paling pantas diceduk oleh masyarakat Islam ialah gaya hidup Barat. Maka kita mengimport fesyen Barat dalam berpakaian dan berbudaya. Dalam kita berkempen ke arah kemajuan umat, lihat sahaja perkembangan hiburan di negara kita. Segala format hiburan Barat dibawa dan didagangkan di sini. Sementara masyarakat muslim pula yang melariskannya. Hiburan-hiburan dalam media kita, bukan sahaja tidak kreatif terpaksa menceduk gaya Barat, bahkan nama program pun tidak mampu untuk diubah. Maka anak-anak kita yang tercicir dalam banyak urusan kehidupan, merasa maju kerana bergaya dengan pakaian dan hiburan secara Barat. Itulah hakikat sebahagian artis-artis kita. Maka yang berjaya diceduk dan dibawa dengan ‘ranggi’nya ke sini hanyalah nilai negatif. Sementera yang positif, kita masih meminta sedekah daripada Barat. Sama seperti orang arab yang bangga dapat bergelek dengan kereta mewah dari Barat, tapi negara dan umatnya belum mampu menghasilkan basikal sekalipun. Bahkan hasil minyak mereka setiap detik dirompak secara rela oleh Barat.

Permasalah kita –mungkin termasuk pihak yang diamanahkan untuk menguruskan kemajuan umat Islam- gagal untuk memahami apakah asas atau sukatan kemajuan dalam pandangan Islam yang kerananya umat Islam berjaya menjadi umat contoh dan pemimpin muka bumi ini dahulunya. Dalam banyak program TV yang ditaja oleh pihak tertentu, apabila cuba menggambarkan kemajuan maka disiarkan gambar orang memakai “lebai” atau songkok atau jubah beraksi di hadapan komputer. Atau gambar tokoh agama yang memakai tali leher yang saiznya kecil sedikit dari kain sejadah. Atau yang seumpamanya. Padahal, bukan setiap yang menggunakan komputer otaknya bertamadun. Entah berapa banyak ustaz di TV yang beraksi berceramah di hadapan komputer, tetapi isi kandungan ceramahnya hanya menggambarkan kemunduran cara fikirnya. Bukan semua pula yang pakai tali leher, otaknya kelas pertama. Juga bukan semua yang menggunakan internet menunjukkan dia menjadi insan yang bertamadun. Itu semua hanyalah hasil yang dinikmat dari kemajuan dan keluasan ilmu. Bukan asas kepada ketamadunan insan menurut al-Quran dan al-Sunnah.

Tamadun Islam tertegak atas prinsip akidahnya dan cara fikir atau minda yang berdisiplin berdasar prinsip-prinsip syariat. Seorang tua yang berbasikal di kampung tetapi berakhlak dengan masyarakat, menghormati hak orang ramai, lebih bertamadun dari tokoh yang bertali leher kemas tetapi mengambil rasuah. Pak cik yang berkain pelekat yang membuang sampah dalam tongnya, lebih bertamadun dari yang memakai pakaian menawan tetapi mencampak rokoknya di sana-sini.
Lebih besar dari itu, menurut Islam, seorang yang kurang berharta tetapi memelihara akidahnya dari kesyirikan dan kekhurafatan adalah lebih bertamadun dari yang berkereta mewah tapi bertangkal, atau berulang-alik ke rumah bomoh. Tamadun itu bermula dari akidah yang sejahtera dan cara fikir yang betul yang berteraskan ruh al-Quran dan al-Sunnah. Akibat hilangnya akidah dan cara fikir yang betul maka hilanglah tamadun yang pernah kita bina. Kita akan terus gagal membinanya semula selagi kita tidak membereskan soal pembinaan kefahaman terhadap prinsip-prinsip ketamadunan dalam Islam ini. Sekalipun kita ada badan, pertubuhan, institut, jabatan yang dikaitkan dengan kemajuan Islam, nampak kita belum mampu maju. Sebabnya persoalan asas terhadap kefahaman tamadun dalam Islam itu bukan sahaja tidak difahami oleh orang awam, bahkan kadang-kala gagal difahami oleh pelaksananya pun.

Sebenarnya, menghayati Islam yang tulen bererti menghayati tamadun keagungan. Namun penafsiran Islam yang sempit dan pengamalnya yang bersifat konservatif telah menggagalkan usaha membawa kembali Islam yang asal lagi tulen. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah dengan berteraskan tafsiran generasi awal (salaf) yang terbukti berjaya memimpin alam ini dahulunya. Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar. Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat hari ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini. Atau salah dalam menafsirkan kedua sumber tersebut.

Perlu dingat, kita tidak boleh untuk membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam. Jika inginkan ketamadunan dalam ertikata yang tidak difahami oleh Islam, Tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya. Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir.)

Amat baik sekali apabila kita mengadakan pameran tentang ketamadunan umat kita yang lampau. Ia patut dipuji. Namun, pengunjung tidak memadai jika sekadar mengetahui hasil tapi memahami di atas tapak apa mereka membina tamadun tersebut. Barangan-barangan itu adalah hasil yang datang dari jiwa yang bermaruah untuk mempertahankan umat dan minda yang segar kerana mempunyai disiplin hidup dan harga diri.

Justeru kita tidak mungkin memahami dan mengulas tamadun yang telah dibina oleh generasi umat Islam yang lampau tanpa menghayati akidah dan pegangan Islam yang mereka kukuh berpaut dengannya. Mereka membina tamadun dengan acuan Islam yang diimani oleh mereka. Islam itu mengalir dalam urat nadi tamadun yang mereka pasak. Mereka membina tamadun di atas tapak tersebut. Tanpa memahami keimanan mereka, kita tidak akan mampu memahami kekuatan tamadun Islam sepanjang zaman. Tokoh sejarahwan Islam, Mahmud Syakir pernah membuat suatu perbandingan (analogi) yang sangat menarik, katanya:”Sesungguhnya seorang juru bina tidak akan dapat mendirikan binaan melainkan setelah dia mengkaji tapak binaan, jenis tanah, mata air dan lain-lain. Seorang doktor tidak akan mampu memberikan rawatan yang berkesan melainkan setelah dia bertanya pesakit mengenai puncanya, makanan, minuman dan lain-lain. Demikian juga seorang sejarahwan tidak dibolehkan menyebut sesuatu kisah yang sampai kepadanya atau menghuraikan sesuatu petikan tanpa mengetahui titik tolak umat ini iaitu `aqidah dan segala yang terpancar darinya iaitu kefahaman, nilaian dan maksud. Ini kerana dibimbangi akan memesongkannya di belakang hawa nafsu dan huraian yang salah yang akan membawa kepada mengubah sepenuhnya sesuatu keadaan dan jauh pula dari kefahaman yang sebenar”. (Mahmud Syakir, Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-IslamI, m.s. 3-4, cetakan: Dar al-Maktab al-Islamiy, Lubnan).

Atas nama dan prinsip Islam berjayanya dibina tamadun Islam. Itulah yang menjadikan umat dahulu gemilang dan dihormati di mata dunia. Tanpa prinsip Islam tidak mungkin dapat dibina tamadun yang berteraskan Islam. Seperti mana –barangkali- di atas semangat ‘kehantuan’ tercetusnya pameran hantu. Tanpa semangat ‘kehantuan’ itu pameran hantu tidak mungkin dapat diteruskan. Namun insan yang ingin membina tamadun, juga mungkin hantu sendiri barangkali kehairanan melihat pameran yang seperti itu.
posted by drmaza @ 11:15 AM  
Mufti Perlis : Al-Quran Bukan Untuk Di Tanam
Oleh Kamarulzaman Pid

PUTRAJAYA: “Kenapa al-Quran mahu ditanam? Perbuatan seperti itu tidak ada nilainya,” kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau mengulas hasrat penjelajah negara, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir untuk menanam al-Quran sejurus menyempurnakan ekspedisi di Kutub Utara yang akan bermula 4 April depan.

Dr Mohd Asri berkata, perbuatan menanam al-Quran sebenarnya tidak melambangkan penghormatan kepada kitab suci umat Islam itu.

“Perbuatan itu menyalahi maksud sebenar al-Quran diturunkan kepada umat Islam. Al-Quran diturunkan kepada umat Islam untuk dibaca dan dijadikan panduan dalam kehidupan, bukan untuk ditanam.

“Jadi, saya menasihati beliau (Sharifah Mazlina), fikirkan semula hasratnya itu,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Sharifah Mazlina meluahkan hasratnya itu sebagai bukti orang Islam mampu melakukan sesuatu yang bersejarah dalam ekspedisi itu.

Beliau turut mendakwa beberapa pakar agama bersetuju dengan cadangannya itu.

Sebelum ini, beliau pernah menanam al-Quran di Antartika ketika memulakan ekspedisi merentas benua itu pada Disember 2004.

Dalam perkembangan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, berkata perbuatan menanam al-Quran adalah sesuatu yang baru.

“Satu ketika dulu pernah al-Quran diletakkan di bulan oleh seorang berbangsa Mesir yang dikirimkan menerusi roket Amerika Syarikat.

“Namun, usaha beliau (Sharifah Mazlina) untuk sampai ke kutub itu memang perlu dipuji. Saya rasa niat untuk berbuat demikian adalah baik iaitu untuk menunjukkan orang Islam pernah sampai ke tempat itu,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Abdullah berkata, hal itu akan dibincang dan fatwa mengenainya akan dikeluarkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di Kuala Terengganu, Terengganu, dari 10 hingga 12 April depan.

“Kita ada muzakarah dan biarlah perkara berkenaan diselesaikan golongan profesional.

“Kita mencari penyelesaian dan titik pertemuan. Jangan pula kita cari perbezaan untuk masyhurkan seseorang.

“Paling penting, jangan kita menidakkan usaha yang sudah berjalan selama ini,” katanya pada sidang media di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, semalam.

Muzakarah itu turut membincangkan mengenai isu pameran jin dan hantu serta isu mualaf berbinkan nama asal bapa yang heboh diperkatakan masyarakat sekarang.

Majlis Fatwa Perlis sebelum ini mengeluarkan fatwa yang mewajibkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam mengekalkan nama bapa atau nama keturunan mereka pada dokumen pengenalan masing-masing.

Isu pameran hantu dan jin pula timbul apabila Lembaga Muzium Negeri Sembilan menganjurkan pameran itu bermula dari 10 Mac lalu hingga 31 Mei depan.

Pameran itu mendapat teguran Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Dr Mohd Asri yang menegaskan pameran itu tidak memberi faedah.
posted by drmaza @ 11:14 AM  
Sunday, March 18, 2007
Islam Antara Cerita dan Kenyataan
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sering kali kita mendengar orang berkata: “Islam agama yang hebat dan membentuk penganutnya menjadi insan yang bertamadun dan mendahului umat-umat Islam”. Penyataan tersebut disertakan pula dengan kisah-kisah umat Islam yang telah berjaya dan gemilang. Sebagai sokongan fakta. Dengan harapan umat di era ini akan terus berbangga dengan Islam mereka dan umat yang lain akan tertarik hati dengan agama yang agung ini.

Malangnya, penyataan sejarah yang lepas, kelihatannya amat berbeza dengan realiti yang disaksikan pada hari ini. Sementara manusia pula secara mijoritinya lebih terkesan dengan realiti yang disaksi, dibandingkan apa yang tertera dalam lembaran sejarah. Apatah lagi jika umat itu, bukan umat yang membaca dan mengkaji. Jika kita lihat kepada masyarakat Islam tempatan kita, khususnya orang melayu yang mendominasikannya, kita agak kecewa. Sebut sahaja segala gejala sosial yang serius, orang melayu yang mengakui diri sebagai muslim mendahuluinya. Hinggakan melayu yang minoriti di Singapura, tetap mijoriti dalam pengambilan dadah. Mat rempit, vadalisme, keciciran dalam pendidikan, kemunduran ekonomi dan berbagai lagi, samada kita ingin akui atau tidak realitinya, mereka semua didominasi oleh satu masyarakat yang mengakui Islam sebagai agamanya dan melayu adalah bangsanya.

Persoalan yang ditimbulkan, atau mereka yang bukan ‘melayu’ tertanya; adakah Islam yang dianuti itu punca kepada ini semua?!!. Sebab, pada zahirnya, semua bangsa berkongsi sama di tanahair kita dari segi udara, air, tanah dan persekitaran. Apa yang membezakan antara kita ialah agama, keduanya bangsa. Jika bangsa tidak ada kaitan dengan soal ini, tentu akan dikaitkan dengan agama. Begitulah sebaliknya.

Sudah pasti sifat Islam sebagai agama wahyu yang maha benar dan sejarah Islam yang gemilang menolak untuk dikaitkan kemunduran dan kelemahan dengan agama yang agung itu. Aqidah yang sejahtera akan pasti mengingkari untuk Islam dipalitkan dengan kecacatan dan ‘ketidak majuan’. Jika demikian, yang tinggal untuk diperbahaskan atau dikaitkan dengan kelemahan ini ialah sesuatu yang berkait dengan bangsa. Bukan tujuan untuk merendahkan bangsa! Tidak sama sekali tidak!! Sebaliknya untuk dibaiki dan dinilai!. Bahkan bagi saya orang melayu dalam hal ini tidak jauh atau banyak bezanya dengan orang Arab.

Bangsa Melayu, sekalipun banyak kelebihan di sudut budi dan bahasanya, namun dalam beberapa perkara lain –secara perbandingan- ‘warisan budaya’ melayu semata tidak begitu mampu atau berdaya saing dalam sesetengah perkara. Ambil sahaja contoh orang cina di sudut budaya kesungguhan kerja, berniaga dan seni-seni kehidupan yang lain, amat mantap untuk dibandingkan. Secara umumnya, seorang yang lahir dalam keluarga cina tidak perlu berhempas pulas memahami ilmu perniagaan, kerana ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Demikian budaya kerja, tolong menolong sesama bangsa dan berbagai budaya positif yang lain. Justeru itu, ramai di kalangan mereka sekalipun tidak keluar dengan lulusan yang tinggi dalam bidang perniagaan, mereka lebih berjaya dari yang keluar dengan sijil bergulung, namun masih menganggur di rumah. Soal rajin kerja, kuat belajar, bersaing secara positif, walaupun ada di kalangan sejarah bangsa melayu ini, namun ia belum sampai ke peringkat warisan budaya. Sementara orang cina dan Barat telah mewarisinya sejak zaman berzaman menerusi sejarah dan tamadun mereka.

Untuk mengatasi kelemahan ruang-ruang tersebut, maka orang melayu tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil suatu tamadun untuk dibudayakan secara zahir dan batin yang tidak mungkin dicabar iaitu Islam yang tulen. Di sini saya sebutkan perkataan Islam tulen bagi membezakan Islam yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.

Jika Islam ini tidak ambil secara betul, maka orang melayu atau Arab tidak akan mampu untuk bersaing di persada dunia hari. Ini kerana, sesetengah bangsa-bangsa lain, sekalipun mereka kehilangan akidah yang benar, namun ciri-ciri tamadun kaum yang mereka pusakai telah membantu membawa mereka membina harta dan kekayaan. Sementara bangsa-bangsa yang menganut Islam, jika tidak benar-benar membudayakan Islam dalam prinsip kehidupan secara komprehensif, maka mereka bersaing tanpa sebarang kekuatan. Tidak kekuatan Islam, tidak juga kekuatan tamadun bangsa. Sedangkan bangsa-bangsa yang tidak Islam, sekurang-kurang mereka mempunyai bekalan persaingan iaitu tamadun bangsa mereka yang mempunyai ciri-ciri positif dalam beberapa sudut. Justeru itu, mereka lebih ke hadapan dan berjaya.

Mungkin ada yang berkata: “Mana perginya kekuatan tamadun bangsa-bangsa yang menganut Islam ini?”. Apakah bangsa mereka langsung tidak ada keistimewaan?! Saya katakan, mungkin. Namun banyak pusaka warisan itu hampir hilang sejak bergenerasi lamanya, dek datangnya Islam yang membawa tamadun yang maha agung dan berwibawa. Juga sifat Islam yang menghapuskan apa yang bertentang dengan prinsipnya yang kudus. Islam telah mengambil tempat warisan budaya atau pusaka sesetengah bangsa dengan gantian suatu sistemnya yang paling ampuh. Malangnya apabila generasi kemudian memegang Islam secara pinggiran, atau tersasar dari panduannya, maka mereka kehilangan tamadun Islam yang agung, sekaligus warisan budaya mereka yang dahulu.

Sesuatu bangsa apabila hilang akar tamadunnya, maka lemahlah mereka, serta mudahlah terdedah kepada pengaruh dan serangan luar. Itulah realiti kita hari ini. Melayu atau arab yang sedang hanyut dengan dunia khayalan yang digula-gulakan.

Ditambah lagi, Islam yang diajar tidak lagi dalam bentuk yang difahami oleh generasi awal yang telah berjaya membina keagungan. Persoalan akidah tidak lagi menjadi teras dalam banyak keilmuan. Sehinggakan perkara-perkara yang merosakkan akidah ramai tidak lagi difahami. Ataupun akidah gagal ditempatkan dipersada persaingan.

Sementara sesetengahnya mencanangkan Islam dengan tafsiran yang mundur lagi tidak berasas. Hingga ada yang menganggap selain dari mata pelajaran yang berbunyi ‘arab’ adalah sekular. Seketika golongan agama lebih mudah untuk diingati jika dikaitkan dengan kain pelekat, baju melayu, datang lewat, berjalan ‘slow’, tidur di masjid, susah terima pendapat orang lain, muncul ketika orang mati dan kahwin dan hilang ketika umat gawat bersaing menghadapi percaturan zaman. Hingga orang akan kehairan jika seorang ustaz tahu banyak perkara. Jika ustaz tidak tahu tentang perkembangan semasa dan persoalan moden, mereka kata; “biasalah, dia tu ustaz!”. Maka akhirnya golongan agamawan gagal untuk mengisi posisi-posisi penting umat. Apa tidaknya; ketika harta dan ekonomi umat tergadai, golongan agama masih ada yang bising soal hukum orang bukan Islam makan daging akikah atau larangan menjawab salam mereka!!, Sepatutnya kita berfikir bagaimana untuk menjadikan Islam ini lebih menarik sehingga bukan muslim di sekeliling kita menerima petunjuk yang benar. Sekaligus segala kekayaan yang mereka miliki turut Islam bersama mereka!!. Bukan sekadar sekeping daging akikah, atau sepatah ucapan salam.

Maka kita hilang Islam, tiada pula pusaka nenek moyang. Islam yang sepatutnya mengisi ruang tamadun kita, telah kita tinggalkan. Maka ramai pemuda kita tiada cita-cita besar, tidak merasai ketinggian harga diri dan tiada tanggungjawab, akibat tidak ada jiwa agama. Jika dia berbangsa cina, mungkin dia malu kerana bekerja itu rajin itu adalah budaya yang jika ditinggal suatu kecacatan dan kehinaan. Jika dia muslim yang baik, dia akan merasai dosa hidup tanpa usaha dan perjuangan. Tapi apabila dia melayu tanpa agama dan budaya, dia rasa itu biasa…

Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut).

Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Maka memajukan melayu bukan dengan sekadar menghidupkan inang dan mak yong atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya ialah dengan membunuh nilai-nilai negatif yang dimusuhi oleh Islam, seperti ‘tidak rajin’, hasad, tidak itqan (bersungguh) dalam sesuatu pekerjaan, membazir waktu, melampau dalam hiburan dan berbagai lagi. Wajib menghidupkan nilai-nilai positif yang disuruh oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti rasa bertanggungjawab membangunkan umat yang membuahkan kesungguhan menuntut ilmu dalam segala bidang dan melaksanakan peranan kekhalifahan membina tamadun. Ruh sebenar Islam mesti diterapkan untuk ini semua.

Maka guru-guru agama, hendaklah memiliki al-‘uqul al-nadijah al-wa’iyyah ’ (akal yang matang lagi berkesedaran) yang mampu menggerakkan tamadun umat. Bukan sekadar membicara kes-kes yang hampir pupus pada pada ratusan tahun yang lepas. Atau sekadar mengulangi bab haid dan nifas tanpa mampu mengggerak murid-muridnya menghasilkan sendiri keperluan wanita moden ketika haid dan nifas.
posted by drmaza @ 10:27 AM  
Sunday, March 11, 2007
Jangan dihodohkan rupa paras Islam
Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan muslim’ yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis yang membantah mati-matian. Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak pernah dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’. Mereka ini jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di pondok-pondok yang pernah mereka belajar. Sesetengahnya ustaz pula telah mengharamkan diri dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut oleh mazhab nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian pondok di rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan ilmu yang diiktiraf dalam Islam.

Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat golongan ‘ustaz’ bukan kesemuanya tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua yang dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia mengajar atau memperkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’. Jika tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik dan sesat menyesatkan antara satu sama lain. Kesimpulannya, pandangan golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh ditolak ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas yang diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang diutuskan sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan neraca kewahyuan.

Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan dan tidak terdedah kepada perbincangan ilmiah. Di sini saya petik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad: “Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut Al-Salam ‘Alaika tanpa menyebut wa rahmat ALLAH, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja). Segolongan ulama berpendapat: “Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya. Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: “Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka golongan soleh yang lain”.

Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Para ulama berbeza pendapat tentang menjawab salam mereka. Mijoriti ulama berpendapat wajib menjawab. Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib menjawab..”

Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Telah sabit dalam hadith, Nabi s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”.(rujukan: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah al-Risalah 1990).

Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa ayat 86) Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (riwayat ini bertaraf ‘hasan’).

Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza Kataba al-Zimmi Pasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.

Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh para ustaz atau sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah golongan agama tidak menjadikan fakta sebagai teras perbincangan, sebaliknya sentimen guru tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.

Adapun hadith-hadith yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadith baginda: “Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith ini bukan untuk semua keadaan.

Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadith di atas tiada kaitan lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian. Apatah lagi dalam situasi Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang mengelilingi umat. Tidak menjawab salam yang betul yang diberikan oleh bukan muslim yang tidak memerangi Islam sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran berikut:

Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86: (maksudnya) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Justeru itu tokoh ulama hadith yang terkenal pada zaman ini, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut: “Ayat ini (Surah al-Mumtahanah ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum (maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”. (Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif :1995).

Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam pun, berpendapat jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka contohkan seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas, juga realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah oleh penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik dengan ucapan yang baik juga hanya akan menambahkan contengan di wajah Islam yang kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah suatu kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.
posted by drmaza @ 10:33 AM  
Perlis wajibkan mualaf kekal nama bapa tanpa ‘Abdullah’
Oleh: JOHARI SHAWAL

KANGAR 10 Mac - “Dilarang menukar nama kepada bin atau binti Abdullah. Mereka wajib mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka.”

Itulah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis hari ini bagi orang bukan Islam yang memeluk agama Islam.

Ini bermakna pada masa akan datang, orang bukan Islam yang mahu memeluk agama Islam wajib mengekalkan nama bapa atau nama keturunannya pada dokumen pengenalan masing-masing apabila memeluk agama Islam.

Bagi saudara baru Islam pula yang telah mengubah nama kepada bin atau binti Abdullah, mereka hendaklah menukarkannya semula kepada nama asal bapa atau keturunan masing-masing.

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mengumumkan perkara itu berkata, fatwa tersebut dikeluarkan bagi menangani masalah orang bukan Islam yang sebelum ini sering merungut dinafikan hak untuk mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka apabila memeluk agama Islam.

“Lazimnya apabila orang bukan Islam memeluk agama Islam, nama mereka dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah.

"Ini tidak boleh kerana mereka sebenarnya dinafikan sifat keadilan dan hak selain menjejaskan apa yang dipertahankan oleh Islam iaitu nasab (keturunan).

“Ini (menukar nama kepada bin Abdullah) sebenarnya adalah perkara pelik. Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Pada zaman nabi dulu pun, mereka yang memeluk agama Islam tidak mengubah nama bapa atau keturunan mereka. Tentulah ini ada kaitan dengan nasab.

“Dengan itu, Majlis Fatwa Negeri Perlis sebulat suara bersetuju dengan keputusan tidak membenarkan mereka mengubah nama bapa atau keturunan mereka apabila memeluk agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya disini hari ini selepas mempengerusikan perbincangan khusus mengenai perkara itu bersama 13 ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, mengubah nama kepada bin atau binti Abdullah apabila seseorang bukan Islam itu memeluk agama Islam hanyalah tradisi, bukan budaya dan syariat serta tidak pula diwajibkan dalam Islam.

“Ia juga adalah bagi menghormati keturunan seseorang itu. Banyak hadis melarang kita menipu nama keturunan. Oleh itu Majlis Fatwa Negeri Perlis membuat keputusan mengubah nama seperti itu adalah dilarang dan dalam erti kata lain, ia adalah sesuatu yang haram,” katanya.

Beliau memberi contoh, jika seseorang itu bernama Sami anak lelaki Raju, apabila memeluk agama Islam dia hendaklah mengekalkan namanya kepada Sami bin Raju dan bukan Sami bin Abdullah.

“Satu lagi sebab lain ialah untuk menangani masalah salah sangka di kalangan orang bukan Islam. Dengan fatwa ini, kita dapatlah terangkan bahawa Islam adalah agama adil,” katanya.

Bagi yang telah memeluk Islam dan berbinkan atau berbintikan Abdullah, Mohd. Asri berkata, mereka mesti menukar semula nama asal bapa atau keturunan mereka jika tiada apa-apa halangan termasuk unsur-unsur perundangan seperti kad pengenalan.

Mohd. Asri bagaimanapun berkata, buat masa ini fatwa itu hanya berkuat kuasa di Perlis tetapi ia akan dibincangkan pada Majlis Agama Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan.

“Kita akan buat satu kertas kerja untuk dibentangkan kepada Majlis Agama Islam yang dijangka bersidang pada 1 April ini di Selangor,” katanya.

sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
posted by drmaza @ 10:26 AM  
Wednesday, March 7, 2007
Aku Rela
telah ku benarkan nama dan diri menjadi sasaran

kerana cinta, aku berkorban

telah ku rela tohmahan bermahajalela

kerana cinta, aku terpaksa

kerana cinta jua aku berbicara

dengan nada insan terluka

meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa

semuanya kerana cinta…

biarku tanggung rasa derita..

asalkan agama, selamat akhirnya..

yang membantah, hanya berfalsafah..

kerana bimbang suapan harian

dengan menjual nama tuhan..

lalu kebenaran disingkirkan,

demi hidangan belian pendustaan



namun aku yang sengsara zahirnya

redha telah pun penuhi jiwa

dalam keletihan ini.. aku bahagia

kerna..

pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga
dr maza 2007, Perlis
posted by drmaza @ 12:03 PM  

Pengumuman

kalendar

pautan informasi
kiriman


arkib

Info
Kuliah Mufti Perlis Dr Maza
selepas Maghrib
setiap Isnin mlm Selasa
dan Rabu mlm Khamis
di Masjid Alwi Kangar
Pengumuman
Kuliah Perdana Dan Isu Terkini
Bersama SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jumaat, 20-July-2007
Di Dewan Ibn Qayyim
Jam 9.00 Malam
Semua Di Jemput Hadir
Kunjungan
blog counters